Anda di sini

Ulu Baram perintis 'belon internet'

Advertisement
 Abang Johari dan isteri (depan) yang menggunakan busana Orang Ulu bergambar bersama tetamu kehormat dan rakyat di Ulu Baram yang datang untuk menyertai Karnival Kesihatan Ulu Baram Ke-6, semalam.
BERSAMA: Abang Johari dan isteri (depan) yang menggunakan busana Orang Ulu bergambar bersama tetamu kehormat dan rakyat di Ulu Baram yang datang untuk menyertai Karnival Kesihatan Ulu Baram Ke-6, semalam.

ULU BARAM, Miri: Kawasan pedalaman Long San di Ulu Baram dan Sarawak bakal mencipta sejarah, apabila menjadi yang pertama di negara ini dan dunia menggunakan belon yang diterbangkan di udara untuk mendapatkan akses Internet dan berkomunikasi dengan dunia. 

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, program ‘Belon Internet’ Google itu merupakan projek perintis yang dilaksanakan dengan kerjasama Silicon Valley, dari Amerika Syarikat (AS) dan akan diuji buat pertama kalinya di dunia, di Long San, Ulu Baram pada 27 Ogos ini.

Saya akan menyaksikan sendiri ujian ini dilakukan kelak dan jika ujian ini berjaya, Sarawak akan mengeluarkan belon (Belon Internet) sendiri dan kita bakal berada di hadapan dengan teknologi termaju ini,” katanya semasa berucap merasmikan Karnival Kesihatan Ulu Baram Ke-6 anjuran Kumpulan Syarikat Samling, di Kem Pusat Baram, milik syarikat berkenaan di Kilometer 10, Ulu Baram, di sini, semalam.

Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala; ADUN Telang Usan, Dennis Ngau serta Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Samling, Dato’ Sri Yaw Chee Ming.

Abang Johari berkata, dengan adanya belon yang diterbangkan ke awan itu kelak, ia mampu memberikan akses Internet di wilayah terpencil di Sarawak dengan Long San sebagai perintis.

Melalui projek perintis ini, maka kita boleh memberikan tuisyen kepada pelajar-pelajar sekolah di Long San, menggunakan teknologi canggih ini,” tambahnya.

Abang Johari berkata, teknologi berkenaan merupakan salah satu langkah beliau untuk mengubah Sarawak agar membangun dan maju dalam dunia digital, bukan sahaja menerusi bidang ekonomi (digital) tetapi juga pendidikan, komunikasi dan industri perhutanan.

Dengan menggunakan teknologi baharu ini, kita juga mahu ekonomi Sarawak menjadi ekonomi digital dan semua pembangunan kita akan menggunakan teknologi serba baharu.

Ini akan mengambil masa, saya baharu tujuh bulan menjadi Ketua Menteri. Berikan saya masa, saya akan mentransformasikan Sarawak. Malah dengan menggunakan teknologi baharu, kita juga akan mengadakan perladangan hutan cara baharu,” katanya..

Bagi projek perhutanan cara baharu, beliau berkata ia tidak memerlukan syarikat menebang kayu dengan banyak, sebaliknya teknologi baharu dengan menggunakan ekstrak jenis kayu yang ditebang akan dibangunkan dan dalam tempoh lama tahun, boleh menjadikan kayu berkenaan matang semula (untuk ditebang), sambil pada masa yang sama Sarawak terus memelihara hutan semulajadinya.

Saya sudahpun mengarahkan syarikat-syarikat pembalakan di negeri ini supaya melakukan kajian, agar kita boleh menanam semula pokok. Apabila kita sudah mendapatkan ekstrak pokok berkenaan kita akan tanam semula pokok di bawah projek perhutanan industri dan saya ucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat berkenaan kerana sahut cabaran ini,” katanya lagi.

Mengenai karnival kesihatan yang diadakan itu, Abang Johari amat berterima kasih kepada syarikat Samling kerana telah mengusahakan program amal seperti itu dengan membawa doktor-doktor sukarelawan mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk penduduk di Baram, sekali setahun.

Doktor datang ke sini, setahun sekali, setidak-tidaknya kita boleh menggunakan peluang tersebut untuk memeriksa tahap kesihatan kita. Jika kesihatan kita baik, maka ekonomi kita pun dalam keadaan baik, kerana kita mampu menjana kegiatan ekonomi di kawasan.

Sebaliknya jika kita ‘lemah’ maka ekonomi kita turut lemah, kalau kita sihat, kita dapat berfikir dengan baik dan dapat mencetuskan pelbagai idea baru untuk membangunkan diri dan masyarakat,” tambah beliau.

  • oleh
  • Advertisement