Anda di sini

Terap KBAT dalam pendidikan awal kanak-kanak

Ia mengajar kanak-kanak berfikir lebih kreatif, selesai soalan dengan pendekatan berbeza: Rosey
 

KUCHING: Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) perlu diterapkan dalam kalangan kanak-kanak bermula dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak pada usia empat hingga enam tahun.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata, KBAT mengajar anak-anak untuk berfikir lebih kreatif.

Dengan KBAT, katanya, anak-anak akan dapat menyelesaikan apa sahaja soalan yang diberikan kepada mereka dengan pendekatan yang berbeza.

KBAT sudah diguna pakai dalam sistem pendidikan formal kebangsaan, tetapi belum lagi di peringkat pendidikan awal kanak-kanak seperti tadika.

Tetapi, kita berharap KBAT akan diterapkan di tadika-tadika kerana kita mahu anak-anak kita didedahkan dengan KBAT pada usia seawal mungkin sebelum memasuki pendidikan formal,” katanya ketika ditemui pada pertandingan IQ New Maths peringkat negeri dan LCT Cup Mental Arithmetic di CityOne Megamall di sini, semalam.

Bercakap mengenai pertandingan tersebut, Rosey berkata ini merupakan tahun kedua ia diadakan anjuran International Arithmetic Mathematics Association (IAMA).

Seramai 800 peserta tapisan kedua menyertai pertandingan itu semalam melibatkan lebih daripada 30 tadika dari seluruh negeri bagi memilih peserta yang akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan pada tahun depan di Melaka.

Sarawak dalam pada itu melakar kejayaan apabila muncul pemenang kebangsaan bagi Pusat Terbaik  pada pertandingan peringkat kebangsaan di Melaka, 28 Mei lepas.

Tadika Krista Stapok membanggakan Sarawak apabila memenangi tempat empat terbaik peringkat kebangsaan dalam pertandingan IQ New Maths dan memenangi Anugerah Pusat Terbaik 2017 dan Anugerah Guru Terbaik 2017.

Manakala, Tadika Krista Pelita Height memenangi anugerah premium dalam LCT Cup Mental Arithmetic Antarabangsa dan Kebangsaan 2017.

Pertandingan yang berlangsung semalam memerlukan para peserta menggunakan KBAT dalam menyelesaikan ujian yang diberikan.

Turut hadir pada pertandingan itu semalam, Naib Presiden IAMA Taiwan Lin Ching Tang, Naib Presiden IAMA Malaysia Adrian Lee dan Naib Presiden IAMA Malaysia Timur Loura Vun.