Anda di sini

SFA harap pihak berwajib dapat baik pulih padang Stadium Tun Zaidi

Advertisement

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA) berharap pihak berwajib dapat membaik pulih kerosakan padang di Stadium Tun Zaidi, Sibu dengan segera bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti sukan.

 Timbalan Presiden SFA, Mejor (B) Moses Ripai berkata kerosakan teruk padang itu sering mendapat aduan pasukan- pasukan yang mengambil bahagian pada pertandingan bola sepak anjuran mereka.

 Beberapa Exco SFA diketuai Moses sendiri telah meninjau keadaan padang itu.

 “Keadaan padang di Stadium Tun Zaidi rosak teruk dan perlu dibaik pulih dengan segera.

 Kami amat memerlukan padang Stadium Tun Zaidi kerana SFA menganjurkan banyak pertandingan bola sepak selepas ini,” katanya semasa melawat padang itu.

 Sehubungan itu, Moses berkata pihaknya akan berjumpa dengan ADUN Nangka yang juga Penaung SFA, Dr Annuar Rapa’ee untuk membantu memanjangkan permohonan SFA kepada pihak berwajib dan atasan bagi menyegerakan kerja-kerja membaik pulih padang tersebut.

 Dengan saingan Liga Sibu- LSC 2017 bakal bermula tidak lagi, Moses berharap padang utama di Sibu itu dapat dibaik pulih dengan segera.

 Sementara itu, Setiausaha Kehormat SFA Kushairy Bujang berkata SFA akan mengadakan sesi pemilihan pemain untuk mewakili Sibu pada saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017/2018.

 Menurut Kushairy, sesi pemilihan itu akan diadakan pada 14 hingga 16 Ogos ini di Padang Penjara Sibu bermula jam 4 petang.

 “Pemilihan terbuka kepada pemain-pemain berusia 28 tahun ke bawah sahaja.

 Kita menyeru mana-mana pemain berminat datang mencuba nasib pada tiga hari tersebut,” katanya.

 Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi beliau (Kushairy Bujang) di talian 010-4088998.

Advertisement