Anda di sini

Pindah penyelesaian terbaik atasi hakisan sungai

Advertisement
 Wan Junaidi (tiga kanan) khusyuk mendengar penerangan mengenai langkah yang wajar diambil bagi mengatasi masalah hakisan dalam lawatannya ke tapak hakisan di Kampung Sungai Bako Hulu di Kuching, semalam.
DENGAR: Wan Junaidi (tiga kanan) khusyuk mendengar penerangan mengenai langkah yang wajar diambil bagi mengatasi masalah hakisan dalam lawatannya ke tapak hakisan di Kampung Sungai Bako Hulu di Kuching, semalam.

Ia lebih wajar daripada berbelanja besar bina tembok kerana hakisan terus berlaku pada masa depan

KUCHING: Memindahkan penduduk mendiami kawasan tebingan Sungai Bako di sini ke satu kawasan perkampungan lebih selamat merupakan langkah terbaik menyelesaikan masalah hakisan tebingan sungai.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, langkah itu juga lebih wajar berbanding berbelanja sehingga RM20 juta bagi membina tembok konkrit kerana hakisan berpotensi berlaku dan menjejaskan penduduk pada masa hadapan.

Hakisan ini akan terus berlaku pada masa akan datang selagi masih ada pasang surut air sungai.

Justeru, langkah wajar yang dapat difikir ialah memindah penduduk tinggal sepanjang tebingan sungai ini kira-kira 200 meter ke kawasan perkampungan baharu yang lebih selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan tapak ke kawasan hakisan di tebingan Sungai Bako Hulu, di sini semalam.

Katanya, apabila penduduk terlibat dipindah, kawasan yang merupakan tapak kediaman penduduk itu akan dibina Tebingan Sungai Bako yang lebih baik dengan kemudahan asas diperlukan penduduk termasuk klinik, dewan, masjid, sekolah dan sebagainya di kawasan sekitar kampung itu.

Ini lebih berbaloi berbanding kita berbelanja sehingga RM20 juta hanya untuk membina tembok menggunakan konsep ‘sheet pile’.

Perkara ini akan saya bawa ke peringkat kerajaan negeri dalam perjumpaan saya dengan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg nanti,” jelasnya.

Ujar Ahli Parlimen Santubong itu, beliau juga akan mendapatkan maklumat, pandangan serta persetujuan penduduk kampung terlibat bantuan ketua kaum serta ketua parti sedia ada di situ.

Mengulas lanjut mengenai penempatan baharu perkampungan itu, jelas Wan Junaidi, lokasi dicadang adalah di tepi jalan berhampiran Jambatan Bako yang hampir siap.

Kalau langkah dicadangkan ini dipersetujui seterusnya direalisasi, kita anggar seramai 1,000 penduduk akan dipindahkan memandangkan mereka ini tinggal di tepian sungai ini.

Tetapi pada masa sama, saya akan mendapatkan persetujuan semua penduduk terlibat sebelum membawa perkara ini ke atas dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni selaku wakil rakyat di kawasan ini.

Dan ini merupakan cadangan terbaik untuk jangka masa panjang bagi kawasan Kampung Bako Hulu ini,” jelasnya.

Kampung Bako terdiri daripada Kampung Bako Hulu dan Kampung Bako Hilir mempunyai 3,000 penduduk merangkumi 400 rumah.

  • oleh
  • Advertisement