Anda di sini

Miri pertaruh pasukan futsal lelaki memburu kejuaraan

Advertisement

KUCHING: Pasukan Miri meletakkan harapan tinggi di bahu skuad lelaki memburu kejuaraan pada Kejohanan Futsal Piala Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak 2017 berlangsung di Betong pada 25 hingga 27 Ogos ini.

 Pengerusi Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri, Mohamad Saif Jubaidi optimis skuadnya mampu melakar kejutan kali ini berdasarkan persiapan rapi dilakukan pihaknya menghadapi temasya tiga hari itu.

 Bagi merealisasikan misi besar itu, Miri telah melantik Awang Yaacob Awang Daud melatih pasukan futsal lelaki dan Paulia Weng untuk pasukan wanita.

 “Sebelum ini, kita menganjurkan Pertandingan Futsal Piala Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Peringkat Bahagian Miri pada 8 dan 9 Julai lalu menyaksikan pasukan LVFT menjuarai kategori lelaki manakala Fearless FC muncul juara kategori wanita.

 “Dari situlah, kita memilih seramai 32 pemain lelaki dan 18 pemain wanita untuk menjalani latihan pusat bagi memantapkan pasukan Miri,” katanya ketika dihubungi semalam.

 Sementara itu, Awang Yaacob berkata pasukan futsal lelaki sudah bersedia memberi cabaran kepada pasukan bahagian lain dan meletakkan sasaran ke peringkat separuh akhir tahun ini.

 K e y a k i n a n b e l i a u diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain remaja berpotensi, Mohd Fittri Zoll, 17, dan Mohd Nazreen Piee, 20, yang sedang mewakili pasukan FA Miri pada saingan Liga Futsal Brunei.

 “Pengalaman kedua-dua pemain ini akan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain lain membantu kami mencapai misi yang diimpikan,” katanya.

 Bagi Paulia, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran memandangkan kebanyakan pemain wanita Miri terdiri pelajar sekolah.

 “Namun, berbekalkan pengalaman dicurahkan pemain- pemain senior terhadap anak didik saya semasa latihan justeru saya tetap yakin barisan pemain wanita mampu memberi cabaran,” katanya.

Advertisement