Anda di sini

Kikis persepsi wanita tidak mampu jadi usahawan

Advertisement
 Rohani (dua kiri) ditemani peserta Pusat Fesyen Wanita Beladin menunjukkan reka bentuk pakaian yang akan dihasilkan di situ.
MAJUKAN DIRI: Rohani (dua kiri) ditemani peserta Pusat Fesyen Wanita Beladin menunjukkan reka bentuk pakaian yang akan dihasilkan di situ.

Usaha, bantuan mampu bawa kesan positif jika dirancang serta dilaksana secara efisien dan sistematik

KUCHING: Perspektif menganggap wanita tidak mampu memajukan diri dalam sektor keusahawanan harus ditangkis, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Malah menurut beliau, masyarakat hari ini masih beranggapan wanita lebih-lebih lagi ibu tunggal berhadapan cabaran sukar dan gagal sebagai usahanita.

Dedah Rohani, bilangan ibu tunggal berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sehingga bulan Jun lalu seramai 85,204 orang.

Kita sedar wanita dan ibu tunggal disasarkan terdiri daripada mereka mempunyai semangat kental dan sanggup menghadapi cabaran.

Justeru, usaha berterusan perlu diambil melalui satu pendekatan khusus, mudah dan konsisten terutama badan bukan kerajaan (NGO) bagi merancang serta menjayakan inisiatif membantu golongan ini,” katanya ketika merasmikan Pusat Fesyen Wanita Beladin dekat sini, semalam.

Rohani juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, penghayatan serta gerak tumpuan semua pihak memberi bantuan dapat meringan beban termasuk menghasil kesan positif jika dirancang serta dilaksana secara efisien dan sistematik.

Pada majlis itu, seramai 300 usahawan wanita dikumpul di pusat tersebut yang merupakan platform usahawan menjalani kursus dan latihan bidang jahitan termasuk pemasaran produk ke pasaran tempatan serta antarabangsa.

Projek ini merupakan satu inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah Jabatan Pembangunan Wanita membantu usahawan wanita tempatan, ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah meningkatkan ekonomi keluarga dan berdikari melalui aktiviti keusahawanan.

Projek Pusat Fesyen Wanita Beladin ini mampu memperkasakan wanita khususnya suri rumah, ibu tunggal dan wanita yang berada di bawah kategori B40 untuk menjana pendapatan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, tenaga pengajar terpilih menjalani latihan intensif selama dua minggu di Singapura bagi mengasah kemahiran khusus dalam bidang jahitan agar produk yang dihasilkan dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Selain itu, katanya, wanita mengikuti projek ini mampu menjadi contoh kepada wanita setempat supaya terus berdikari dan berusaha menjana pendapatan keluarga.

Sebagai permulaan, seramai 25 wanita berpeluang menjalani latihan jahitan malah dijangka seramai 300 orang lagi usahawan berjaya dihasilkan.

Melalui projek ini, pengilang di Singapura akan menghantar fabrik secara pukal untuk dijahit oleh wanita-wanita tempatan.

Setelah siap dijahit, pakaian tersebut akan dihantar semula ke Singapura untuk dipasarkan ke lain-lain negara.

Pelaksanaan projek ini dilihat merupakan satu inisiatif murni wajar dicontohi oleh pihak lain terutamanya syarikat korporat untuk bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menghasilkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Projek ini turut mendapat kerjasama daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu International Women’s Federation of Commerce and Industry (IWFCI).

IWFCI Malaysia telah ditubuhkan secara rasmi pada 8 April 2016. Penubuhan IWFCI di Malaysia merupakan ke-12 di dunia dan Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah dilantik sebagai penaung bagi NGO ini.

  • oleh
  • Advertisement