Anda di sini

Idea bernas penduduk Miri penting jayakan VMY 2018

MIRI: Idea bernas penduduk Miri amat diperlukan Majlis Bandaraya Miri (MBM) memastikan Tahun Melawat Miri (VMY) sepanjang tahun depan diisi aktiviti menarik dan meriah untuk pelancong.

Penduduk diminta mengenal pasti aktiviti unik hanya ada di Miri untuk menambah keistimewaan Miri sebagai destinasi pelancongan utama utara negeri ini.

Antara aktiviti lain dicadang ialah aktiviti kebudayaan menampilkan tarian tradisional, adat perkahwinan, pakaian tradisional menggambarkan kepelbagaian etnik dan kaum di sini.

Cenderahati VMY maskot Miri iaitu kuda laut juga perlu dihasilkan sebagai hadiah kenangan pelancong bila berada di sini.

Kerja membersihkan pantai merupakan tarikan utama Miri juga perlu dilakukan serta kerja mengecat bangunan agar kelihatan segar dan berwajah baharu.

MBM juga perlu memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan Miri termasuk menyenaraikan aktiviti pelancongan sepanjang tahun dalam kalendar VMY.

Datuk Bandar Adam Yii berkata, VMY 2018 merupakan inisitiatif MBM untuk memperkenal Miri secara lebih dekat kepada pelancongan tempatan dan asing dalam tempoh setahun.

Beliau telah mempengerusi Jawatankuasa Penganjur VMY yang turut disertai Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah Miri, Lembaga Pelancongan Sarawak, ketua-ketua jabatan, Dewan Perniagaan Cina dan Industri Miri, persatuan kaum, agensi pelancongan dan badan korporat.

Antara objektif jawatankuasa ialah memastikan penganjuran aktiviti dan acara pada setiap bulan sepanjang sambutan VMY.

Jawatankuasa telah menubuhkan lapan jawatankuasa kecil iaitu pemasaran dan publisiti,  pengangkutan,  penginapan, acara dan kalendar,  kawalan dan keselamatan, pakej lawatan dan produk, keluaran tempatan serta kajian impak pelancongan.

Kick-off big bang’ atau pelancaran besar besaran melibatkan kerjasama Pantai Bayu Indah Sdn Bhd dirancang menganjurkan `countdown’ VMY di Miri Central Park di Marina ParkCity.

Ia akan diadakan pada 30 dan 31 Disember dengan tema Unik, Kepelbagaian Seni dan Budaya di Miri menyasarkan kehadiran 50 pengunjung termasuk penduduk dan pelancong.

Empat zon aktiviti dicadangkan pada hari itu iaitu zon bunga api untuk pertunjukan bunga api berirama, zon bazar untuk bazar piknik mempromosikan juadah tempatan dan trak makanan, zon aktiviti untuk bazar kraf dan seni, persembahan buskers dan aktiviti kanak-kanak serta zon pentas untuk persembahan pentas dan bakat.