Anda di sini

Gerakan koperasi negara setanding negara maju

Advertisement

BENTONG: Gerakan koperasi di negara ini telah berjaya mencapai peningkatan yang memberangsangkan dengan 13,428 koperasi telah berdaftar sehingga hujung tahun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ia berjaya menghimpunkan seramai 7.01 juta anggota dengan modal syer dan yuran sebanyak RM14 billion.

Dalam masa sama keseluruhan koperasi berkenaan berjaya menghimpunkan aset bernilai RM130.7 billion serta perolehan sebanyak RM39.67 billion dan sebagai anggota koperasi, kita harus berbangga dengan pencapaian tersebut.

Ini kerana gerakan koperasi Malaysia tidak lagi dilabel sebagai pertubuhan sosial semata-mata tetapi juga entiti perniagaan setanding dengan koperasi negara maju lain di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Pahang di sini semalam yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan, dan Kepenggunaan negeri Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin mewakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Jamil Salleh.

Hamzah berkata transformasi dalam sektor koperasi itu menunjukkan bahawa masyarakat di negara ini bertambah yakin dengan kemampuan gerakan koperasi untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Hal ini selaras dengan tema Hari Koperasi Negara sendiri iaitu ‘Transformasi Koperasi Ke Arah Kesejahteraan’ kerana koperasi sememangnya boleh menangani isu  sosial, persekitaran dan ekonomi seiring dengan sektor lain.

Hal ini secara langsung juga dapat membantu kerajaan membangunkan negara selaras dengan Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai 20 negara teratas dalam pembangunan ekonomi, kemajuan sosi dan inovasi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya gerakan koperasi perlu bersedia daripada segala aspek agar sentiasa maju dan dapat membentuk minda kelas pertama dalam kalangan anggotanya, terutama barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan.

Hamzah berkata dalam masa sama KPDNKK sebagai kementerian yang bertanggungjawb kepada pembangunan gerakan koperasi juga telah mengaturkan pelbagai strategi untuk mencapai sasaran perolehan sebanyak RM50 billion menjelang 2020. — Bernama

Ia mempergiatkan perniagaan dalam bidang memberi pulangan yang tinggi seperti sektor perkhidmatan, kewangan, pemborongan dan peruncitan, pertanian dan industri asas tani serta pembangunan hartanah dan industri pembinaan.

Sementara itu Shahiruddin berkata kerajaan negeri bercadang mengadakan sambutan Hari Koperasi peringkat negeri di kawasan luar bandar pada masa akan datang dalam usaha untuk mendedahkan golongan itu tentang kebaikan gerakan koperasi. Pada masa kini, di Pahang sahaja terdapat sebanyak 166 koperasi berdaftar dengan  jumlah aset RM870 juta dan suntikan modal sebanyak RM245 juta.

Saya menyeru kepimpinan koperasi di negeri ini supaya lebih aktif menambah anggota masing-masing dan bijaksana dalam mencari peluang perniagaan supaya dividen yang diperoleh setiap tahun mampu mencecah sehingga RM15,000 setahun,” katanya. — Bernama

Advertisement