Anda di sini

Empat beranak direman

 Suspek-suspek kes rogol diiringi polis semasa tiba di Mahkamah Majistret Samarahan, semalam.
REMAN: Suspek-suspek kes rogol diiringi polis semasa tiba di Mahkamah Majistret Samarahan, semalam.

  Mahkamah perintah reman tujuh hari bantu siasatan kes rogol dua darah daging sendiri.

KOTA SAMARAHAN: Empat beranak direman tujuh hari sehingga 19 Ogos ini bagi membantu siasatan kes rogol terhadap dua darah daging sendiri sejak enam tahun lalu di Kampung Daha Seroban, Serian.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Dayang Roselind Awang Mahdini ketika permohonan itu dibuat di Mahkamah Majistret Samarahan di sini, semalam.

Kesemua suspek yang berusia 26 hingga 57 tahun itu merupakan bapa kandung, datuk serta dua bapa saudara kepada dua beradik berusia 19 dan 14 tahun.

Perbuatan terkutuk empat beranak itu terbongkar apabila mangsa disahkan hamil 25 minggu selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Serian pada jam 2.30 petang kelmarin.

Susulan itu, kesemua suspek ditangkap di sebuah rumah di Kampung Daha Seroban pada kira-kira jam 3.30 petang hari yang sama.

Sebelum ini, mangsa dikatakan dirogol empat lelaki berkenaan di kediaman mereka sejak enam tahun lalu.

Lebih menyedihkan, adiknya yang kini berusia 14 tahun turut menjadi mangsa nafsu serakah suspek sejak berusia sembilan tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar dalam kenyataannya sebelum ini berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di rumah mereka di Kampung Daha Seroban.

Mangsa mendedahkan dia telah dirogol oleh empat lelaki iaitu bapa, datuk dan dua bapa saudaranya semenjak berusia 13 tahun.

Adik mangsa turut mengalami nasib sama,” katanya.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, ketika dihubungi Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah berkata peristiwa hitam itu tidak sepatutnya terjadi kerana keluarga terdekat sepatutnya bertindak menjadi pelindung , namun sebaliknya berlaku.

Mangsa rogol bawah umur, pelaku adalah ahli keluarga yang sepatutnya bertanggungjawab menjadi pelindung, penjaga keselamatan dan dipercayai untuk menjaga mangsa.

Tetapi harapkan pagar, pagar makan padi, kita berasa sedih kerana mangsa terpaksa berhenti sekolah, malah masa depan terjejas kerana terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu muda selepas melahirkan anak,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Beliau berharap pihak polis mengambil tindakan sewajarnya agar pelaku dibawa ke muka pengadilan, sekali gus dihukum setimpal dengan kesalahan mereka.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pihaknya menerusi pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Pusat Krisis Bersepadu (OSCC) akan menyiasat keperluan untuk memberi perlindungan kepada mangsa rogol.

Jika didapati mangsa perlu diberi pelindungan, kita akan memohon perintah mahkamah dan mangsa akan ditempatkan di tempat selamat,” katanya.