Anda di sini

Edisi kedua Jambori Mountain Bike di HEP Batang Ai pada 20 Ogos ini

KUCHING: Edisi kedua Jambori Mountain Bike Batang Ai Sarawak Energy akan diadakan di Empangan Hidroelektrik (HEP) Batang Ai pada 20 Ogos ini.

Acara itu dijangka menarik lebih ramai penggemar ‘mountain bike’ untuk menguji kemahiran masing-masing melalui jejak lasak, bermula di puncak empangan dan menyusuri bukit-bukau sebelum kembali ke titik asal.

Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy Aisah Eden menyeru penggemar ‘mountain bike’ untuk mendaftar dalam acara ini bagi mencabar diri masing-masing dan pada masa sama, menerokai keindahan alam sekitar di kawasan empangan tersebut.

Jambori ini bertujuan untuk memberi peluang kepada penggemar acara berbasikal serta para penyokong menyaksikan sendiri penjanaan semula jadi kawasan itu sejak pembangunan HEP Batang Ai lebih 30 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pelbagai program telah disenaraikan dalam acara berkenaan bagi disertai masyarakat tempatan.

Selepas kejayaan jambori ‘mountain bike’ sulung tahun lepas, kita meneruskan kerjasama dengan agensi-agensi dan komuniti tempatan serta penganjur profesional untuk membawa kembali acara ini bagi penganjuran tahun kedua.

Jambori Mountain Bike Sarawak Energy sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mempromosi aktiviti rekreasi dan meningkatkan peluang ekopelancongan bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat di kawasan tepi tasik loji kuasa hidro ini,” kata Aisah.

HEP Batang Ai merupakan empangan hidroelektrik pertama di Sarawak. Dimulakan pada 1985, HEP itu merupakan kejayaan besar dalam perjalanan negeri ke arah penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

Kawasan tepi tasik di sekeliling loji kuasa itu turut menarik pelancong eko dari seluruh dunia, serta membuka peluang untuk pelancongan kebudayaan, sukan memancing dan melihat hidupan liar.

Batang Ai mempunyai populasi orang utan dan penampakan spesies kera ikonik itu bukan sesuatu perkara asing di hulu empangan tersebut.

Anjuran Legionaires Ventures Sdn Bhd, acara tahun ini dibahagikan kepada Tertutup Sarawak dan Sarawak Energy-Lubok Antu tertutup.

Kedua-dua seksyen itu mempunyai kategori untuk Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Men’s Master (untuk yang berusia 40 tahun ke atas). 

Lelaki Terbuka akan meliputi jarak anggaran 45 kilometer, manakala laluan untuk Wanita Terbuka dan Men’s Master masing-masing 30 kilometer.

Hadiah-hadiah menarik termasuk wang tunai, trofi, dan pingat menanti pemenang semua kategori.

Untuk keterangan lanjut mengenai acara dan pendaftaran, sila kunjungi Facebook Btg Ai MTB Jamboree.