Anda di sini

Bersedia hadapi SUKMA 2018

Advertisement
 Snowdan (dua kanan) menyampaikan sijil kepada seorang jurulatih sambil disaksikan Hii (dua kiri), Gloria (kanan) serta yang lain di Sibu petang semalam.
TAMAT KURSUS: Snowdan (dua kanan) menyampaikan sijil kepada seorang jurulatih sambil disaksikan Hii (dua kiri), Gloria (kanan) serta yang lain di Sibu petang semalam.

Kontinjen Sarawak yakin memperolehi keputusan lebih baik pada temasya tersebut

SIBU: Sarawak bersedia mengharungi Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak dan yakin memperolehi keputusan lebih baik pada temasya tersebut.

 Menteri Muda Belia dan Sukan, Snowdan Lawan berkata malangnya Sarawak gagal mencapai juara keseluruhan pada SUKMA 2016 di Kuching tahun lalu apabila diatasi Selangor dengan beberapa kutipan pingat emas.

 “Lupakan tentang kegagalan lalu dan kita semua perlu bekerja keras dan berharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan sukan Sarawak sekali gus disegani seperti suatu masa dahulu,” katanya pada Majlis Penutupan Kursus Sains Sukan Kebangsaan Peringkat II (SPKK) di sini petang semalam.

 Seramai 28 jurulatih dari pusat pelbagai sukan menghadiri kursus lima hari dianjurkan oleh Sarawak Sports Corporation (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

 Kursus itu dikendalikan oleh Dr Chin Ngien Siong, Profesor Madya Dr Tengku Fafilah Tengku Kamaiden, Dr Pathmanthan K Suppiah, Dr Zainal Othman, Dana Raja Narayanasamy, Mohd Rizal Md Razalo dan Lim Eng Hooi.

 Hadir sama Ketua MSNS Zon Tengah, Gloria James Juat dan Residen Bahagian Sibu, Hii Chang Kee.

 Snowdan berkata, beliau akan menjelajah ke seluruh negeri ini memastikan kemudahan sukan mencukupi memenuhi keperluan atlet.

 “Apa perlu kita lakukan adalah meningkatkan kualiti atlet dan memastikan atletatlet dibela apabila mereka bersara,” katanya.

 Mengenai kursus itu, beliau berkata bagi memupuk pengetahuan umum dan maklumat untuk meningkatkan kemahiran jurulatih dinaik taraf dan diperkasakan.

 Snowdan memberitahu jurulatih memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan Sarawak menjadi sebuah pusat kuasa sukan utama di negara ini.

 “Jurulatih berada di barisan hadapan dan mereka boleh mendekati atlet, menyedari prestasi atlet berkualiti tinggi serta menonjolkan sikap dan tingkah laku atlet,” jelasnya.

 Beliau juga berkata kursus sains sukan membantu meningkatkan tahap kecekapan kalangan jurulatih serta membolehkan mereka membangunkan prestasi atlet.

 Menurutnya, negara China adalah negara yang tidak pernah kekurangan atlet dan sentiasa diganti oleh pelapis sedia ada yang telah lama diperkasakan dari awal lagi.

 “Untuk menjadi juara adalah sukar tetapi menjadi konsisten (melahirkan pelapis atlet) adalah lebih sukar.

 Itulah yang dapat diungkapkan dalam bidang sukan,” ujarnya.

 Snowdan berkata, jika seorang atlet tidak kehilangan fokus terhadap pencapaiannya dan menumpukan perhatian mengekalkan peranannya kemungkinan boleh menjadi juara yang konsisten.

 Beliau memberi contoh kepada pemandu Formula I terkemuka iaitu Michael Schumacher lapan kali bergelar juara dunia FI.

 “Untuk menjadi yang terbaik, kita tidak perlu hilang fokus dan itulah jalan menuju kejayaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement