Anda di sini

2017Makan Tahun Perdana tonjol kekayaan budaya Kedayan

Advertisement
 Kenamaan bergambar bersama para pemenang pertandingan bersilat.
TERBAIK: Kenamaan bergambar bersama para pemenang pertandingan bersilat.

MAKAN Tahun Perdana yang berpusat di Kampung Pahlawan di Limbang, baru-baru ini berjaya menonjolkan kekayaan budaya, adat resam, pakaian dan makanan tradisi kaum Kedayan yang majoritinya mendiami kawasan utara Sarawak.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos lepas memasuki edisi ketiga penganjurannya bermula pada 2015 di Kampung Limpaki, diikuti Kampung Batu Bakarang (2016) dan Kampung Pahlawan 2017.

Dua minggu sebelum berlangsungnya program itu lebih 2,000 penduduk Kampung Pahlawan yang juga merupakan kampung terbesar di bahagian Limbang kerana mempunyai lima zon, iaitu Tatal, Bukit, Tamiang, Masjid dan Batu Lapan sibuk merangka aktiviti dan persiapan rapi untuk menjayakan program di kawasan mereka.

Lebih unik pembinaan ‘junjung’ (gerai/pondok) dilakukan secara gotong-royong oleh setiap kampung Kedayan untuk dipertandingkan mengikut kreativiti dan kelainan dengan menonjolkan adat resam masyarakat itu dari segi cara hidup dan makanan.

Kampung Sembiling muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 pada pertandingan junjung kali ini, diikuti Kampung Nauran yang menerima RM700 dan tempat ketiga dimenangi Zon Tatal yang membawa pulang RM500.

Makan Tahun merupakan majlis kenduri tahunan, dijayakan penduduk kampung secara bergotong-royong memasak lauk-pauk untuk dihidangkan kepada tetamu.

Ia adalah adat masyarakat Kedayan dan wajib dilaksanakan setiap tahun bagi kampung-kampung Kedayan mengikut giliran selepas selesai musim menuai padi.

Hidangan yang wajib ialah kelupis (disebut kalupis) dan wajid iaitu nasi yang dibungkus menggunakan sejenis daun yang dikenali sebagai daun nyirik dalam kalangan masyarakat Kedayan.

Turut dihidangkan ialah pelbagai masakan tradisional seperti daging kerbau, pais ikan, sambal tahai, buah-buahan tempatan, sayur umbut kelapa yang dicampur santan dan menu lain.

Selain tanda kesyukuran selepas musim menuai ia juga penting bagi memperingatkan generasi muda supaya menghargai dan meneruskan perjuangan generasi terdahulu.

Hadir memeriahkan perasmian Makan Tahun Perdana 2017 ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia Datuk Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Lambir Ripin Lamat, Ahli Dewan Negara yang juga Timbalan Ketua UMNO Labuan Senator Datuk Bashir Alias, Residen Limbang

Datu Maria Hasman, Wali kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Timbalan Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Labuan Datuk Aini Safar, pengerusi pengelola Makan Tahun Perdana Penghulu Abu Tinggal dan Ketua Kampung Pahlawan Bungsu Tambah.

  • oleh
  • Advertisement