Anda di sini

Maut dihempap kren tumbang

Advertisement
 Keadaan kren yang tiba-tiba tumbang dan menghempap dua pekerja.
TUMBANG: Keadaan kren yang tiba-tiba tumbang dan menghempap dua pekerja.

KOTA SAMARAHAN: Dua pekerja termasuk seorang wanita terbunuh akibat kecederaan parah selepas dihempap kren yang tiba-tiba tumbang dalam satu insiden di sebuah tapak pembinaan di sini, petang semalam.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Mohamad Bake, 49, dan berasal dari Kampung Niup di sini dan Helen Sima Gilbert Guntin, 40, dari Kampung Moyan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern semasa dihubungi semalam mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu pihaknya menerima laporan berhubung insiden pada jam 3.45 petang.

“Pengurus syarikat tempat kedua-dua mangsa bekerja juga telah membuat laporan berhubung kemalangan maut yang menimpa pekerjanya itu,” kata Lee.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan.

Anggota bomba dan APM berusaha mengalihkan mayat mangsa yang tersepit di bawah kren.
MAUT:Anggota bomba dan APM berusaha mengalihkan mayat mangsa yang tersepit di bawah kren.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Tiong Ling Hii dalam kenyataannya di sini semalam memberitahu, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada jam 4.10 petang untuk bantuan mengalihkan mangsa yang tersepit.

“Kejadian melibatkan sebuah kren yang sedang menjalankan kerja-kerja di tapak pembinaan tersebut yang tiba-tiba tumbang dan menghempap kedua-dua pekerja terbabit.

“Kita terpaksa meminta bantuan dua jentera berdekatan bagi mengangkat bahagian lengan kren tersebut untuk memudahkan pihak bomba mengalihkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya semalam.

 Anggota penyelamat mengusung mayat mangsa dari tempat kejadian untuk dihantar ke HUS.
TRAGIS: Anggota penyelamat mengusung mayat mangsa dari tempat kejadian untuk dihantar ke HUS.

Tambahnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan serta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hadir di lokasi kejadian untuk membantu mengalihkan mayat mangsa.

  • oleh
  • Advertisement