Anda di sini

Kastam Sabah rampas 8,000kg sisik tenggiling

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah mematahkan satu cubaan menyeludup keluar kira-kira 8,000 kilogram sisik tenggiling bernilai RM100 juta dalam satu rampasan di Pelabuhan Sepanggar akhir bulan lepas.

Pengarah Kastam Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata sisik tenggiling terbabit yang dirampas pada 29 Julai lalu, dipercayai untuk dieksport ke China.

“Berdasarkan hasil risikan, kita telah membuat pemeriksaan terhadap dua kontena yang didaftarkan berisi cengkerang untuk dieksport ke negara berkenaan.

“Namun hasil pemeriksaan itu kita mendapati sebanyak 226 guni berisi kira-kira 8,000 kg sisik tenggiling dimuatkan di dalam kedua-dua kontena berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu juga pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang merupakan pemilik syarikat yang cuba menyeludup keluar sisik tenggiling tersebut.

Janathan berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cuba menyeludup keluar barang larangan yang jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali nilai barangan atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sisik tenggiling dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 kecuali dengan permit.

Beliau juga tidak menolak sisik tenggiling tersebut dibawa masuk ke Sabah dari negara jiran melalui jalan tikus.

“Kita anggarkan 8,000 kg sisik tenggiling itu diperoleh daripada 16,000 ekor tenggiling dan dengan jumlah sebesar itu kita tidak pasti sama ada ia diperoleh di Sabah kerana saiz hutan di Sabah tidak memungkinkan terdapat sebegitu banyak tenggiling,” katanya. — Bernama

Advertisement