Anda di sini

SIRIM akan selesaikan audit teknologi 170 firma tahun ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Organisasi penyelidikan dan teknologi, SIRIM Bhd, dijangka akan menyelesaikan audit teknologi ke atas 170 syarikat dalam pelbagai sektor melalui Program SIRIMFraunhoufer tahun ini.

 Program itu menggunakan dan mengamalkan prinsipprinsip model Fraunhoufer dari Jerman mengenai penyelidikan gunaan untuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata sehingga sekarang, sejumlah 80 firma daripada sektor kejuruteraan, elektronik dan jentera telah menyelesaikan audit teknologi mereka.

 “Hasil daripada audit akan membantu PKS menyediakan pelan tindakan untuk meningkatkan produktiviti, menambah keupayaan pengurusan teknologi serta meningkatkan rantaian nilai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar inovasi makanan dan trend global di sini semalam.

 Dalam tahun 2015 dan 2016, sebanyak 320 syarikat telah dibuat audit teknologi.

 “Penemuan melalui audit itu akan menentukan teknologi yang diperlukan bagi sesebuah syarikat untuk meningkatkan produktiviti mereka.

 “Lebih 45 projek telah diluluskan untuk program menaik taraf teknologi dan 36 projek telah dikenal pasti bagi program memupuk,” katanya.

 Seminar sehari itu telah diadakan seiring dengan Pesta Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia 2017 yang ke-18.

 Ia disertai lebih daripada 200 peserta dalam industri makanan dan minuman, institusi penyelidikan, institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan sektor swasta. — Bernama

Advertisement