Anda di sini

Malaysia dijangka raih manfaat pertumbuhan infrastruktur ASEAN

Advertisement

Tingkat kecekapan ekonomi, wujud sistem pengangkutan bersepadu

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mendapat manfaat yang besar daripada pertumbuhan yang disokong infrastruktur negara-negara ASEAN, kata HSBC Bank Malaysia Bhd.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Mukhtar Hussain berkata peluang besar Malaysia dari segi pengangkutan ialah untuk meningkatkan hubungan serantau dan tempatan, di samping menambah baik kecekapan dalam ekonomi, mewujudkan sistem pengangkutan bersepadu, serta meningkatkan kapasiti logistik bagi melonjakkan status negara sebagai hab serantau untuk perdagangan antarabangsa.

Ini merupakan bidang tumpuan utama bagi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya.

Mukhtar berkata perbelanjaan infrastruktur yang dirancang dalam tempoh 2016-2020 ialah AS$85 bilion, meningkat daripada AS$50 bilion yang dibelanjakan dari 2011 hingga 2015.

Pembiayaan projek rel merupakan yang utama dalam perbelanjaan pengangkutan yang dirancang seperti yang ditunjukkan melalui pelaburan besar yang telah dibuat dalam projek rel yang menjadi keutamaan dalam senarai projek mega negara. Ini termasuk menaik taraf kapasiti transit massa sedia ada,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga mendapat manfaat daripada pelaburan infrastruktur Inisiatif Jaluran dan Laluan (BRI) oleh China.

Ini terbukti dengan penglibatan China dalam projek rel utama Malaysia seperti projek landasan kereta api Pantai Timur dan projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura.

Sementara itu, perkongsian strategik antara Melaka dan Wilayah Guangdong, China, bertujuan untuk menggalakkan pembangunan pelbagai projek untuk membantu menjadikan negeri itu sebagai pelabuhan dan hab strategik bagi laluan BRI,” kata Mukhtar.

Di peringkat rantau, pelaburan infrastruktur bagi Indonesia berada pada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 13 peratus untuk Filipina, 19 peratus masing-masing bagi Thailand dan Malaysia manakala 31 peratus di Singapura.

Inisiatif pengangkutan merupakan tumpuan utama untuk perbelanjaan belanjawan dalam ekonomi 10 negara ASEAN sehingga 2020.

Mukhtar berkata pelaburan sedemikian penting, memandangkan peranan penting infrastruktur dalam mewujudkan kekuatan ekonomi jangka panjang, menurut Laporan Tahunan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia.

Penekanan untuk membina hubungan yang lebih baik untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dan aliran barangan serta orang di dalam dan di sekitar ASEAN tidak boleh dipandang rendah.

Ini akan membantu syarikat-syarikat domestik dan antarabangsa memaksimumkan peluang di dalam salah satu rantau yang paling ramai penduduk di dunia dan paling pesat berkembang.

Dengan gabungan KDNK kira-kira AS$2.8 trilion, ASEAN sudah berada pada kedudukan ketujuh terbesar di dunia dan bersedia untuk berada di tahap ketiga teratas menjelang 2030,” katanya.

HSBC Bank Malaysia adalah anak syarikat milik penuh The Hongkong dan Shanghai Banking Corporation Ltd (syarikat di bawah Kumpulan HSBC). — Bernama

Advertisement