Anda di sini

Bapa, datuk dan pakcik rogol sampai mengandung

Dev Kumar
Dev Kumar

KUCHING: Sejarah hitam seorang gadis yang menjadi mangsa rogol bapa kandung, datuk dan dua bapa saudaranya sejak berusia 13 tahun terbongkar apabila disahkan mengandung di Hospital Serian, petang tadi.

Tambah menyedihkan apabila difahamkan gadis terbabit yang kini berusia 19 tahun tiba di Hospital Serian sekitar jam 2.30 petang turut mendedahkan bahawa adiknya yang berusia 14 tahun juga menjadi mangsa nafsu buas keempat-empat individu yang sama sejak berusia sembilan tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata bertindak kepada maklumat tersebut pihaknya telah menangkap keempat-empat suspek di rumah mereka di Kampung Daha Seroban, Serian sekitar jam 3.30 petang tadi.

"Mangsa mendedahkan bahawa dia telah dirogol oleh empat orang lelaki iaitu ayah, datuk dan dua bapa saudaranya semenjak berusia 13 tahun.

"Mangsa turut mendedah bahawa adiknya juga menerima nasib yang sama dan  kesemua insiden rogol ini dikatakan berlaku di rumah mereka.

"Bertindak kepada maklumat tersebut pasukan JSJ Serian diketuai Insp Vimal Nathan telah menangkap keempat-empat suspek yang berusia 26 hingga 57 tahun," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Difahamkan keempat-empat suspek yang bekerja sebagai petani itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Samarahan pada jam 10 pagi esok untuk permohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan, iaitu sumbang mahram.