Anda di sini

Aliran FDI ke ASEAN dijangka cecah AS$100 bilion, kata Mustapa

Advertisement

Syarikat M’sia nikmati keuntungan dari segi perdagangan dan pelaburan

KUALA LUMPUR: Aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN terus meningkat pada tahun ini dan disasarkan mencecah lebih AS$100 bilion (AS$1 = RM4.29) berbanding AS$96.7 bilion.

 Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini akan terus menguntungkan syarikat-syarikat Malaysia dari segi perdagangan dan pelaburan, perkongsian teknologi serta penawaran peluang pekerjaan.

 “Perjalanan ASEAN sememangnya hebat serta berjaya (selama ini) dan semua orang berbangga dapat menjadi warga ASEAN, termasuk Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Forum Pelaburan Intra-ASEAN di sini, semalam.

 Mustapa berkata, aliran FDI global mencatat peningkatan sederhana dan akan turut memberi manfaat kepada ASEAN yang mempunyai lebih 630 juta penduduk.

 Aliran FDI ke ASEAN dan negara-negara anggotanya sejak lima tahun lepas (2012- 2016) berjumlah AS$565.5 bilion dengan pelabur utama mewakili ASEAN, Kesatuan Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat, katanya.

 Mengulas perdagangan intra-ASEAN, beliau berkata aliran itu meningkat berikutan kos menjalankan perniagaan yang lebih rendah di rantau ini.

 Tahun lepas misalnya, syarikat-syarikat ASEAN melabur AS$23.9 bilion di rantau ini iaitu peningkatan sebanyak 12.2 peratus daripada 2015, katanya.

 Menurut Mustapa, aliran pelaburan dari negara-negara anggota ASEAN ke dalam Malaysia juga terus bertambah daripada RM1.8 bilion pada 2010 kepada RM11.6 bilion pada 2015.

 Malah, antara syarikat terkemuka ASEAN yang melabur di Malaysia ialah Charoen Pokphand, Wilmar, Musim Mas, Tipco Asphalt dan TCC Group.

 Selain itu, mengulas Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Mustapa berkata 10 negara terbabit sedang berusaha gigih untuk memastikan ia dapat direalisasikan.

 “Kita mungkin berdepan beberapa cabaran berikutan penyenaraian 22 perkara dan setakat ini hanya dua perkara yang dapat dimuktamadkan membabitkan perusahaan kecil dan sederhana serta kerjasama teknikal.

 “Masih banyak yang perlu kita lakukan dan cuma ada empat hingga lima bulan saja lagi.

 Kita perlu realistik. Jika tidak tahun ini, ia mungkin dapat diselesaikan pada separuh pertama 2018,” katanya.

 RCEP merupakan cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara negaranegara anggota ASEAN merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam serta enam negara lain yang menjalin FTA dengan ASEAN iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

 Anggota RCEP dijadual mengadakan pertemuan pada tahun ini di Korea Selatan dan Manila. — Bernama

Advertisement