Anda di sini

Tiada kompromi

Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai atau anggota polis yang terlibat salah laku: Amer

 Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman semalam.
TANGKAP: Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman semalam.

KUCHING: Polis Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam salah laku yang boleh menjejaskan imej pasukan.

Demikian tegas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal susulan penangkapan enam anggotanya termasuk seorang berpangkat inspektor yang didakwa memeras sejumlah wang tunai daripada dua peniaga sejak awal bulan ini.

Menurutnya, keenam-enam suspek ditangkap anggota dari Unit D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di rumah dan tempat kerja mereka di sini, Padawan dan Lundu sejak malam kelmarin hingga awal pagi semalam.

Sekitar jam 10 malam tadi (malam kelmarin) hingga 3 pagi hari ini (semalam), seramai enam anggota polis termasuk seorang inspektor telah ditangkap berikutan dua laporan yang diterima di Batu Kawa dan Sematan yang mendakwa kumpulan ini telah memeras sejumlah wang tunai daripada mereka.  

Keenam-enam suspek telah diluluskan reman oleh Mahkamah Majistret Kuching selama tiga hari bermula hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut.

Kita tidak akan berkompromi dan mana-mana pegawai atau anggota polis yang dibuktikan terlibat dalam salah laku terutama yang boleh menjejaskan imej pasukan akan dihadapkan ke mahkamah atau diambil tindakan tatatertib,” tegas Amer pada sidang media berhubung tangkapan tersebut di Pusat Media IPK Sarawak, semalam.

Difahamkan, suspek berpangkat inspektor terbabit bertugas di Cawangan Pelesenan Jabatan Pengurusan IPK Sarawak, manakala lima lagi anggota pangkat rendah bertugas di cawangan berbeza di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Siasatan masih dijalankan untuk kita mengetahui bila sebenarnya berlaku pemerasan ini kerana kedua-dua peniaga ini membuat laporan berhubung kejadian pada 3 dan 8 Ogos, baru-baru ini,” kata Amer.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar.

 Amer pada sidang media di Pusat  Media IPK Sarawak, semalam. Turut  kelihatan Dev (kiri).
TEGAS: Amer pada sidang media di Pusat Media IPK Sarawak, semalam. Turut kelihatan Dev (kiri).