Anda di sini

Sarawak akan beli 10% saham MLNG Train 9

Advertisement

KUCHING: Sarawak akan membeli 10 peratus daripada saham MLNG Train 9 milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang beroperasi di Kompleks LNG Petronas (PLC) di Bintulu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Bahasa (iCLS) 2017 di sini semalam.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ya, saya ingin mengesahkan Sarawak akan membeli saham MLNG Train 9 sebanyak 10 peratus. Petronas juga telah mengesahkan kita dalam senarai mereka.

Persoalannya sekarang berapa nilai saham itu dan kita akan perincikan kemudian,” ujarnya.

Laporan akhbar sebelum ini mengatakan MLNG Train 9 mencapai status Sedia untuk Bermula (Ready for Start-Up) pada Jun 2016. Ia mempunyai kapasiti pengeluaran 3.6 juta tan setahun.

Ia dilaporkan memulakan operasi komersial pada suku pertama tahun ini (2017).

Ini bermakna dengan beroperasinya loji MLNG Train 9 yang dimiliki Petronas LNG9 Sdn Bhd (PL9SB), Kompleks LNG Petronas kini mempunyai kapasiti pengeluaran kira-kira 30 juta tan setahun.

PL9SB ditubuhkan pada 2012 dan merupakan anak syarikat milik penuh Petronas, loji LNG yang kesembilan di Kompleks LNG Petronas, Bintulu.

Sementara itu mengenai pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minyak dan gas milik penuh Sarawak, Petros beliau berkata pelantikan akan dilakukan dalam kalangan ahli lembaga syarikat berkenaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Abang Johari semalam sekali gus menafikan khabar angin mengatakan CEO Sarawak Energy Berhad Sharbini Suhaili akan dilantik untuk jawatan itu.

Ahli lembaga Petros telah dilantik, lima orang dan mereka kesemuanya anak jati Sarawak, profesional termasuk pesara Petronas dan Shell.

CEO Petros belum dilantik. Ahli lembaga akan berbincang dan memilih CEO dalam kalangan mereka untuk mencari CEO yang terbaik dan berpengalaman,” katanya.

Advertisement