Anda di sini

Bapa tunggal didenda RM3,800 curi minyak wangi Gucci berharga RM251

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang bapa tunggal didenda RM3,800 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas kesalahan mencuri sebotol minyak wangi berharga RM251.

Majistret Jessica Ombou Kakayun menjatuhkan hukuman itu terhadap Saparuddin Iskandar selepas mengaku bersalah mencuri minyak wangi jenama Gucci, pada 17 Julai jam 2.51 petang di pusat beli-belah Imago, di sini.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda.

Berdasarkan fakta kes, pengadu melihat kotak Gucci di atas lantai dan apabila memeriksa video litar tertutup, beliau melihat tertuduh mengambil botol minyak wangi berkenaan dari rak pameran.

Tertuduh kemudian memasukkan minyak wangi itu ke dalam poketnya dan membuang kotak di atas lantai, lalu keluar tanpa membuat pembayaran.

Pada 30 Julai, tertuduh berjaya ditangkap ketika datang kembali ke kedai berkenaan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki dikenakan penjara 60 bulan kerana mencuri sebuah bot berserta enjin milik seorang lelaki.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap Nasiri Abd Ghafar, 27, selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada 26 Julai antara jam 6.30 petang hingga 11 malam, di kawasan laut Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini.

Atas kesalahan itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 379 kanun sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda.

Terdahulu, tertuduh mengaku merupakan pesalah pertama namun semasa berada di Semenanjung, tertuduh pernah dijatuhkan hukuman atas kesalahan dadah.

Mahkamah juga memerintahkan Nasiri dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya, selepas tamat menjalani hukuman.

Semua pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Insp Rasydan Jasni.

Advertisement