Anda di sini

Mati diragut lori

Advertisement

Dua maut, seorang cedera dalam tiga kemalangan lori di Bintulu, Kanowit dan Serian.

 Lori terbabas lalu terjatuh ke parit sebelah jalan dalam kemalangan di Jalan Kawasan Perindustrian Samalaju, Bintulu pagi semalam.
TERJATUH: Lori terbabas lalu terjatuh ke parit sebelah jalan dalam kemalangan di Jalan Kawasan Perindustrian Samalaju, Bintulu pagi semalam.

BINTULU: Seorang penumpang lori maut setelah lori dinaikinya terbabas lalu masuk ke dalam parit konkrit dalam kemalangan kendiri di Jalan Kawasan Perindustrian Samalaju di sini, jam 9.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian merupakan warga Indonesia dikenali Supianto Hadari, berusia 39 tahun.

Seorang lagi penumpang berumur 31 tahun  mengalami kecederaan di bahagian bahu kirinya manakala pemandu lori terbabit dan dua lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu lori gagal mengawal kenderaan terbabit sebelum terbabas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat manakala mangsa mengalami kecederaan turut dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu di SIBU, seorang lelaki maut selepas dihempap sebuah lori tanah di Jalan Simpang Majau, Kanowit petang kelmarin.

Mangsa merupakan seorang kelindan lori dikenali sebagai Andrew berusia lingkungan 50-an.

Kejadian malang itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 petang ketika mangsa dalam perjalanan memberi bantuan kepada sebuah lagi lori sedang rosak, kira-kira 50 meter di hadapan.

Turut bersama mangsa ketika kejadian ialah rakannya dikenali Buyu Miling, 42 tahun.

Terdahulu, Buyu yang merupakan pemandu lori dinaiki mangsa menarik brek tangan lori mereka sebelum bergerak bersama mangsa menuju ke arah lori rosak.

Bagaimanapun, lori dinaiki mereka tiba-tiba bergerak ke hadapan akibat permukaan jalan yang licin dan menuruni bukit sebelum melanggar tebing bukit.

Lori terbabit kemudian terbalik dan menghempap mangsa yang sedang berjalan kaki sebelum mengheretnya ke bawah bukit.

Ketua Polis Kanowit DSP Daniel Desmond Benjamin berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Daniel turut menasihati pemandu kenderaan berat terutama yang menggunakan laluan jalan tanah liat dan licin supaya mengambil langkah keselamatan sebaik-baiknya.

Insiden ini dapat dielakkan seandainya langkah-langkah keselamatan sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Sementara di SERIAN, seorang pemandu lori cedera di kaki selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lori di Jalan Serian-Gedong di sini, semalam.

Kejadian malang itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi, apabila lori tiga dan lima tan bertembung ketika melalui Jambatan Sungai Midin.

Bagaimanapun, tiada mangsa tersepit dilaporkan dalam insiden tersebut.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Tiong Ling Hii, kedua-dua lori terbabit bertembung dari arah depan.

Tiada mangsa tersepit dalam kemalangan tersebut. Namun hanya pemandu lori tiga tan mengalami kecederaan di kaki,” katanya.

Tiong berkata mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang melalui jalan tersebut sebelum dihantar ke Hospital Serian untuk menerima rawatan lanjut.

Pemandu dikenali sebagai Japrin Sariee, 38, itu dilaporkan stabil.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan terus ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan pada jam 8.34 pagi,” katanya.

Dua jentera dari BBP Simunjan dan Serian bersama 15 anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 26 kilometer dari balai terdekat.

Dua buah lori bertembung dalam kemalangan di Jalan Serian-Gedong, semalam.
Dua buah lori bertembung dalam kemalangan di Jalan Serian-Gedong, semalam.
  • oleh
  • Advertisement