Anda di sini

Guru muda meninggal dunia di bilik sewanya

Advertisement
 Mayat Jackson dibawa ke Hospital Marudi untuk dibedah siasat.
BEDAH SIASAT: Mayat Jackson dibawa ke Hospital Marudi untuk dibedah siasat.

MARUDI: Seorang guru muda berumur 25 tahun meninggal dunia di dalam bilik sewanya di Kampung Cina di sini semalam.

Guru dikenali Jackson Bala Ribut itu mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Sharif Hamid dan berasal dari Rumah Irene, Nanga Engkeririn, Kanowit mulai bertugas di sekolah tersebut pada Februari tahun lalu.

Tahun ini merupakan tahun kedua beliau mengajar di SK Dato Sharif Hamid.

Menurut sumber rapat dengan beliau, si mati tidak turun mengajar kerana berasa tidak sihat serta mengalami pening kepala.

Rakannya, Fredexcson Tugang yang mengajar bersamanya di sekolah sama memberitahu bahawa beliau dimaklumkan mengenai keadaan rakannya itu menerusi Whatsapp pada jam 7.55 pagi semalam.

Sejurus itu, pada jam 9.55 pagi, Fredexcson balik ke rumah sewa tersebut untuk menjenguk rakannya itu dan sewaktu tiba di rumah, beliau mendapati Jackson terbaring dalam keadaan amat lemah dan beliau terus menghubungi hospital mengenai keadaan rakannya.

Bagaimanapun, Jackson tidak sempat dibawa ke hospital kerana sejurus ketibaan rombongan paramedik di kediamannya, Jackson telah menghempuskan nafas terakhirnya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Justeru, polis serta bomba dan penyelamat terus dihubungi dan bergegas ke rumah sewa berkenaan bagi menyiasat keadaannya.

Fredexcson memberitahu, beliau terus menghubungi guru besar sekolah mereka dan beberapa guru kanan untuk memaklumkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Jackson dikatakan memang mengalami penyakit darah tinggi.

Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Marudi untuk dibedah siasat dan difahamkan mayatnya dibawa balik ke kampung halamannya di Kanowit untuk dikebumikan.

Advertisement