Anda di sini

Tambah kemudahan di Klinik Tongod

Advertisement

Walau sudah lama beroperasi, masih banyak kemudahan yang perlu disediakan

 Juhari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis berkenaan.
PENYERI ACARA: Juhari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis berkenaan.

KINABATANGAN: Kementerian Kesihatan diminta menambah kemudahan kesihatan di Klinik Kesihatan Tongod bagi menampung keperluan rakyat di daerah ini yang semakin padat.

Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas) Kolonel (K) Dato’ Juhari Janan berkata Klinik Kesihatan Tongod itu sudah lama beroperasi tetapi masih banyak kemudahan yang perlu disediakan oleh kerajaan.

Kita minta kerajaan melalui Kementerian Kesihatan agar menambah peruntukan bagi meningkatkan kemudahan kesihatan di klinik ini,” katanya.

Beliau berkata keperluan menempatkan pesakit di wad perlu ada di sini kerana setakat ini belum ada wad pesakit di klinik berkenaan.

Daerah Tongod terletak jauh di kawasan pedalaman negeri Sabah. Klinik berkenaan terletak lebih 150 kilometer dari Hospital Duchess of Kent Sandakan dan 130 kilometer dari Hospital Kinabatangan.

Juhari juga meminta agar kakitangan serta doktor ditambah oleh pihak kementerian dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan selari dengan pesakit.

Ini adalah penting untuk rakyat di Tongod yang amat memerlukan kemudahan tambahan berkenaan dan penambahan kakitangan yang selama ini masih diperlukan oleh mereka.

Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada perkara ini kerana kemudahan kesihatan merupakan satu keperluan yang penting untuk masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri anjuran bersama Klinik Kesihatan Tongod, Panel Penasihat Klinik Kesihatan dan Komuniti 1Malaysia Daerah Tongod, malam Isnin.

Pada majlis itu, Juhari melahirkan rasa gembira apabila setiap menjelangnya perayaan yang dirai begitu meriah sekali gus menunjukkan amalan toleransi yang tinggi kalangan masyarakat terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama di negeri ini.

Beliau yakin dan percaya amalan sedemikian membantu usaha murni kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara yang aman dengan rakyat saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, penganjuran majlis rumah terbuka sesebuah perayaan adalah platform mewujudkan persefahaman yang baik kerana dari situ jelas memperlihat semangat muhibah dan kekitaan yang menjadi amalan selama ini.

Saya gembira kerana kehadiran masyarakat yang datang berkunjung ke rumah-rumah terbuka sempena perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri ini dalam suasana yang begitu mesra sebagai satu keluarga yang besar. Amalan ini sentiasa dilakukan oleh rakyat di Sabah walaupun berbeza agama dan suku kaum.

Keunikan rakyat di negeri ini amat berbeza dengan negeri lain, cara masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan kepercayaan menjalani kehidupan harian boleh dijadikan contoh terbaik aspirasi 1Malaysia,” katanya.

Beliau memberi contoh, orang bukan beragama Islam yang hadir bersama penganut Islam dalam suasana harmoni ketika berbuka puasa merupakan fenomena biasa yang boleh disaksikan di seluruh pelosok negeri ini.

Advertisement