Anda di sini

Sumbangan ekonomi digital kepada KDNK dijangka lebih 20% sebelum 2020

Advertisement

PETALING JAYA: Sumbangan ekonomi digital Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka melebihi sasaran sebanyak 20 peratus menjelang 2020 berbanding 17 peratus pada masa ini.

 Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata beliau yakin sasaran tersebut dapat dicapai sebelum 2020, susulan Malaysia mula mengorak langkah dalam ekonomi digital.

 “Ini terutamanya dengan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan pada Mac tahun ini dan baru-baru ini, Hab Digital Malaysia.

 “Malaysia juga dapat memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan DFTZ, apabila perusahaan kecil dan sederhana kita dapat meraih manfaat daripada kerjasama dengan penggiat yang besar seperti Alibaba,” katanya.

 Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Ekonomi Digital dan e-Dagang Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini semalam.

 Jailani berkata ekonomi digi tal global telah berkembang pada kadar yang menarik sebanyak 10 peratus setahun, lebih daripada tiga kali ganda kadar keseluruhan pertumbuhan ekonomi global.

 “Dengan kadar Malaysia Digital Economy Corp Sdn Bhd membawa masuk pelaburan, kita boleh mencapai sasaran 20 peratus sebelum 2020,” katanya.

 Beliau berkata ekosistem Malaysia bagi syarikat pemula niaga adalah kondusif dan dengan peraturan, dasar dan kemudahan yang disediakan, negara kini pada kedudukan kedua teratas melancarkan syarikat pemula niaga di dunia.

 “Kita mula menyaksikan banyak syarikat pemula niaga baharu dilancarkan di Malaysia. Bagi yang bermula di tempat lain, seperti di Singapura, kembali membina asas mereka di sini,” kata Jailani.

 Hab Digi t a l Ma l aysia menawarkan peluang kepada syarikat pemula niaga untuk pengembangan global, akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi dan hubungan gentian optik, peluang pembiayaan dan kemudahan, ekosistem sedia tenaga kerja, fokus dari segi teknologi dan kemudahan menyeluruh serta pengalaman gaya hidup, katanya.

 “Ia menumpukan kepada empat kategori, iaitu, syarikat pemula niaga yang berkembang, syarikat teknologi global, pemacu dan pembimbing pekerja dan pelabur,” katanya.

 Jailani berkata insentif bagi Hab Digital Malays ia adalah termasuk pengecualian cukai korporat bagi syarikat pemula niaga teknologi, Program Usahawan Teknologi Malaysia yang mengeluarkan pas kepada individu yang ingin menubuhkan atau mengembangkan perniagaan mereka ke Malaysia, dan akses kepada pembiayaan.

 “Insentif cukai khas itu akan memanfaatkan rejim cukai sedia ada dan insentif lain akan diumumkan kemudian,” kata Jailani.

 Tiga hab digital yang diluluskan kerajaan pada masa ini ialah APW, The Co dan Common Ground, semuanya terletak di Lembah Klang, katanya.

 Sementara itu, Jailani menggesa kumpulan pemikir ASLI menekankan kepada keperluan pengawal selia di semua sektor untuk meningkatkan kerjasama bagi mengukuhkan agenda digital.

 “ASLI boleh mempertimbangkan untuk mengadakan forum khas bagi membincangkan peranan pengawal selia pada masa akan datang,” katanya.

 ASLI merupakan kumpulan pemikir bebas dan badan bukan berteras keuntungan komited ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih baik dan membantu organisasi meningkatkan daya saing, kepimpinan dan keupayaan strategik. — Bernama

Advertisement