Anda di sini

Situasi terus dipantau

Advertisement

Malaysia sedia hulur bantuan tangani kebakaran hutan di Aceh.

Kerajaan Indonesia isytihar darurat jerebu di lima wilayah.

 Pelajar sekolah di Aceh memakai topeng muka ketika menunggu bas sekolah. Aceh berasap tebal ekoran kebakaran hutan tanah gambut di Meulaboh, kelmarin. — Gambar AFP
TETAP KE SEKOLAH: Pelajar sekolah di Aceh memakai topeng muka ketika menunggu bas sekolah. Aceh berasap tebal ekoran kebakaran hutan tanah gambut di Meulaboh, kelmarin. — Gambar AFP
wan junaidi
Wan Junaidi

KUCHING: Malaysia akan memantau dengan teliti perkembangan insiden kebakaran hutan di Aceh, Indonesia dan sedia menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tidak banyak dapat dilakukan oleh Malaysia kerana kebakaran berlaku di Indonesia.

Saya dan pegawai memantau dengan teliti setiap perkembangan yang berlaku di sana seperti di Jambi dan Riau. Di sana hanya terdapat titik panas atau kawasan kebakaran bertaburan, tidak seperti di Aceh.

Malaysia akan sentiasa berkomunikasi dengan Kementerian Alam Sekitar Republik Indonesia di Jakarta dan bersedia menghulurkan bantuan jika diperlukan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan Kerajaan Republik Indonesia mengisytiharkan darurat di lima wilayah iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan ekoran kebakaran hutan di kawasan tersebut.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, tindakan Jakarta mengisytiharkan darurat di wilayah-wilayah berkenaan menunjukkan kerajaan republik itu terlibat aktif dalam mengurangkan impak kebakaran hutan ke atas negara-negara jiran.

Penglibatan Jakarta dengan menggerakkan semua jabatan dan penduduk tempatan termasuk menggunakan helikopter untuk memadamkan api membuktikan republik itu berusaha memastikan pelan hala tuju menjadikan ASEAN bebas jerebu menjelang 2020 dicapai.

Saya fikir kita harus berbangga kerana Jakarta begitu aktif melakukannya,” tambah beliau.

Mengulas lanjut mengenai situasi di Aceh, Wan Junaidi berkata walaupun ketika ini terdapat banyak titik panas di Aceh tetapi kedudukannya yang jauh ke utara memungkinkan kesannya kurang dirasai Malaysia.

Berdasarkan situasi yang berlaku semenjak saya mengambil alih jawatan ini (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) pada 2015, saya mendapati walaupun tiupan angin berubah, (jika) angin dari barat bertiup ke arah Malaysia, ia tidak akan sampai ke Sarawak kerana ia sangat jauh.

Jika kebakaran hutan di Aceh terus berlaku dan tiupan arah angin berubah seperti kelazimannya, Selatan Thailand akan terjejas termasuk beberapa negeri di utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” jelasnya.

Sementara di Kalimantan, terutama di Kalimantan Tengah iaitu di sepanjang Parangka Kaya, beliau berkata ketika ini tidak banyak titik panas dikesan dan jika langkah sama diambil seperti di Sumatera, api dapat dipadamkan.

Yang membimbangkan kita ialah jika wilayah Riau terjejas teruk dengan api terus marak, seluruh Malaysia termasuk Singapura akan terjejas, mengalami jerebu.

Namun, sebelum ini Gabenor Kalimantan telah memberi jaminan mereka kini dilengkapi segala kelengkapan dan sudah bersiap sedia untuk mengambil semua langkah pencegahan bagi mengelak api tidak terus masuk di kawasan itu,” ujarnya.

Akhbar National Post Rabu lepas melaporkan Kerajaan Republik Indonesia mengisytiharkan darurat di lima wilayah iaitu Riau, Jambi, Sumatra Selatan, Kalimatan Barat dan Kalimatan Selatan ekoran pembakaran tanah gambut di situ.

Agensi Mitigasi Bencana Negara (Indonesia) juga berpendapat kebakaran itu berisiko merebak ke kawasan lain semasa musim kemarau tahunan jika langkah pencegahan tidak diambil.

National Post memetik jurucakap agensi itu Sutopo Purwo Nugroho berkata, 18 helikopter telah dikerah ke Sumatera dan Kalimantan bagi membantu memadamkan kebakaran.

Sutopo menambah lima wilayah berkenaan diisytihar darurat berikutan jangkaan kebakaran bertambah buruk dan untuk mengurangkan kepulan asap dihasilkan oleh tanah gambut jika terbakar.

Imej satelit menunjukkan bahawa jumlah kebakaran meningkat daripada 150 pada Ahad kepada  179 pada Selasa lepas.

Terdahulu darurat diisytiharkan di daerah Aceh Barat ekoran peningkatan keluasan tanah gambut yang terbakar kepada 70 hektar (170 ekar) dalam tempoh seminggu.

 Anggota tentera Indonesia memeriksa sebahagian daripada kawasan hutan tanah gambut di Meulaboh, wilayah Aceh yang terbakar kelmarin. — Gambar AFP
JADI ARANG: Anggota tentera Indonesia memeriksa sebahagian daripada kawasan hutan tanah gambut di Meulaboh, wilayah Aceh yang terbakar kelmarin. — Gambar AFP
  • oleh
  • Advertisement