Anda di sini

Rondaan mampu kurangkan aktiviti jenayah

Advertisement

Aktiviti meronda pasti menyukarkan penjenayah untuk meneruskan niat melakukan jenayah

 Abang Abdul Wahab ketika mengetuai rondaan Program Bandar Selamat di Kampung Semariang Batu, kelmarin.
MERONDA: Abang Abdul Wahab ketika mengetuai rondaan Program Bandar Selamat di Kampung Semariang Batu, kelmarin.

KUCHING: Rutin rondaan keselamatan secara berkala di kawasan perumahan termasuk kampung diyakini mampu mengurangkan kadar jenayah kata Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Menurut beliau, aktiviti meronda pasti menyukarkan penjenayah meneruskan niat untuk melakukan kegiatan jenayah.

Mereka (penjenayah) pasti berfikir panjang untuk melakukan jenayah, kerana khuatir ditangkap sekiranya terserempak dengan pasukan rondaan keselamatan di kampung,” katanya.

Abang Abdul Wahap berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bandar Selamat di Kampung Semariang Batu, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, katanya usaha menjaga keselamatan kawasan kediaman adalah tanggungjawab bersama.

Abang Wahap menegaskan, ia tidak hanya terletak di bahu pihak polis semata-mata.

Kalau bukan kita, siapa lagi hendak jaga keselamatan di kediaman, jangan hanya bergantung kepada polis, mereka juga mempunyai tanggungjawab dan kawasan lain untuk dijaga.

Polis tidak dapat menjaga semua kawasan, oleh itu, kitalah yang membantu mereka, dengan menjaga kawasan kita,” ujarnya.

Justeru, amalkan sikap ambil tahu dalam kalangan masyarakat untuk tujuan keselamatan bersama.

Bukan bermakna penduduk perlu menjadi penyibuk dengan menjaga tepi kain orang lain.

Jadi penyibuk yang kena pada tempatnya, sebagai contoh, mesti tahu siapa orang yang masuk ke kawasan kediaman atas dasar keselamatan,” tegasnya.

Abang Abdul Wahap berharap aktiviti rondaan keselamatan itu akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan jenayah di kawasan kediaman.

Program rondaan bandar selamat itu bertujuan meningkatkan kerjasama antara DBKU, komuniti kampung, Agensi Antidadah Kebangsaan, polis, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dalam menguatkuasakan dan meningkat keselamatan di kawasan kejiranan.

Turut menyertai rondaan, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Operasi) Superintenden Abang Junaidi Abang Anuar dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Pentadbiran) Superintenden Ismail Mahmood.

  • oleh
  • Advertisement