Anda di sini

Pentas Da’i musim kelima dibuka, minggu pertama jadi penanda aras

Advertisement
DA’I AIMAN
DA’I AIMAN

PADA malam Ahad yang lalu, Pentas Da’i Musim Kelima episod pertama telah disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam menerusi TV3.

Enam peserta Da’i iaitu Da’i Fahmi, Da’i Humaira’, Da’i Syafiqah, Da’i Hakim, Da’i Aiman, dan Da’i Zahirah telah membuka tirai Da’i musim kelima dengan tema ‘Resipi Kehidupan’.

Pada malam itu, perbualan di Twitter turut merangkumi perbualan siapakah Da’i pilihan penonton melalui hashtag nama mereka, #daifahmi, #daihumaira, #daisyafiqah, #daihakim, #daiaiman, dan #daizahirah.

Setelah satu jam tiga puluh minit program ini bersiaran, Da’i Zahirah telah dinobatkan sebagai Da’i Pilihan Penonton minggu pertama, diikuti dengan Da’i Hakim, Da’i Aiman, Da’i Fahmi, Da’i Humaira’, dan Da’i Syafiqah.

Menurut Penerbit Da’i Pendakwah Nusantara Musim kelima, Shukri Ibrahim, “Dari apa yang dapat kita lihat, enam peserta telah memberikan persembahan di luar jangkaan kami walaupun ia merupakan kali pertama mereka beraksi di atas pentas.

Mereka telah berjaya menangani dan mengawal situasi walaupun ada yang gugup ketika berhadapan dengan hampir 400 orang penonton di studio. Penonton di rumah turut memberi maklum balas yang amat memberangsangkan dan menjadi perbualan hangat di laman sosial masing-masing,” tambah beliau.

Sistem pemarkahan untuk musim ini adalah 70 peratus dari juri tetap, iaitu daripada Ustaz Zarifi Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail masing-masing akan mengadili dari sudut pegisian dan hafazan sebanyak (35 peratus), manakala (35 peratus) lagi adalah melalui personaliti serta gaya persembahan. Dua puluh peratus akan diberikan oleh Murabbi iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali, 10 peratus daripada juri awam yang diundang pada setiap episod.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara.

Pemenang saguhati akan mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diumumkan di Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara.

Pemenang Da’i Pilihan Penonton ini dipilih berdasarkan jumlah kemenangan sebagai Da’i Pilihan Penonton setiap minggu yang ditentukan melalui jumlah hashtag nama mereka pada setiap minggu.

Contohnya, jumlah sebutan #daifahmi di laman sosial Twitter adalah yang terbanyak pada satu minggu itu, akan dipilih sebagai Da’i Pilihan Penonton minggu tersebut.

Sekiranya, Da’i Fahmi telah dinobatkan sebagai Da’i Pilihan Penonton yang terbanyak sepanjang musim, secara automatik Da’i Fahmi akan memenangi gelaran Da’i Pilihan Penonton musim kelima.

Program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5 ini diterbitkan oleh Primeworks Studio dan diterajui oleh saudara Shukri Ibrahim selaku penerbit.

Program ini dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor selaku pengacara utama dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama Da’i Pendakwah Nusantara.

Selain itu, Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid. Di mana tugasnya adalah untuk menasihati para Da’i dan merangkap sebagai ketua tenaga pengajar yang digelar Murabbi.

Murabbi yang terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah pula, merupakan tenaga pengajar utama peserta Da’i yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program ini berlangsung.

Di samping itu, peserta Da’i juga akan turut menimba ilmu daripada juri-juri tetap pada setiap siaran langsung program ini. Juri-juri tetap yang akan bersama mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail.

Antara tarikan pada malam itu adalah persembahan pembukaan oleh Khai Bahar yang membuka tirai dengan lagu Doa.

Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima episod pertama itu diikuti dengan persembahan setiap para peserta iaitu Da’i Fahmi dengan Hebatnya Solat Sunat, Da’i Zahirah (Cinta Yang Diredhai), Da’i Hakim (Kasih Pada Makhluk Allah), Da’i Aiman (Bermusuh Dengan Zina), Da’i Syafiqah (#Terimakasih) dan Da’i Humaira (‘Kenalan’ Kita).

Siapakah Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5? Ayuh sama-sama kita saksikan program realiti keagamaan nombor satu negara ini pada setiap hari Ahad, 9.00 malam di TV3 dan ikuti juga Jurnal Da’i yang dihoskan oleh Da’i Syed (musim ke-4) pada jam 6.00 petang juga di TV3.

Selain itu, penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal video nombor satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.

Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman-laman sosial anda.

Advertisement