Anda di sini

Peningkatan dagangan Malaysia tanda kekukuhan ekonomi

Advertisement

Jumlah perdagangan negara dengan dunia meningkat 1.5% tahun lepas

KUALA LUMPUR: Peningkatan dalam perdagangan Malaysia dengan dunia menunjukkan bahawa ekonomi negara ini memiliki daya tahan walaupun dunia sedang mencatatkan kelembapan, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

 Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata jumlah perdagangan negara dengan dunia telah meningkat sebanyak 1.5 peratus tahun lepas kepada RM1.48 trilion berbanding 2015 dengan lebihan dagangan sebanyak RM87.26 bilion.

 “Perangkaan ini mencerminkan potensi perdagangan Malaysia yang kukuh,” katanya semasa pelancaran Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia ke-28 (MIMF) 2017di sini semalam.

 Katanya, daripada jumlah keseluruhan perdagangan, eksport jentera terdiri daripada RM37.68 bilion, merangkumi 4.8 peratus daripada jumlah eksport dan import jentera meningkat sekali ganda daripada tahun sebelumnya kepada RM65.05 juta atau 9.3 peratus jumlah import.

 “Destinasi eksport utama adalah India, Indonesia, Taiwan, Jepun dan Vietnam manakala sumber import yang utama datang dari China, Amerika Syarikat dan Jerman,” katanya.

 Sementara itu, penganjur MIMF, ES Event Management Sdn Bhd, berkata ia menjangkakan sejumlah AS$3 juta (AS$ 1 = RM4.27) tawaran perniagaan akan dimuktamadkan dalam acara tahun ini, sama seperti pencapaian yang direkodkan pada tahun sebelum ini.

 Pengarah Urusan, Datuk Chong Chong Tik, berkata unjuran yang agak sederhana itu adalah disebabkan oleh jangkaan bahawa pengunjung akan menggunakan acara ini sebagai platform untuk menimba pengetahuan, sebaliknya, tawaran perniagaan biasanya terjadi selepas acara berakhir.

 Acara selama tiga hari, bermula semalam, berjaya menarik penyertaan sebanyak 430 syarikat, di mana 210 milik tempatan dan 220 syarikat asing.

 Antara negara yang terlibat dalam pameran ini China, Taiwan, Inidia, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Vietnam dan AS. — Bernama

Advertisement