Anda di sini

Pengetua dipenjara tiga bulan, denda RM40,500

Advertisement

Bagi tiga pertuduhan salah guna kuasa berhubung pembekalan barangan untuk aktiviti sekolah

 Norliza dipenjara tiga bulan dan denda RM40,500 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tiga tuduhan salah guna kuasa di Shah Alam. — Gambar Bernama
SALAH GUNA KUASA: Norliza dipenjara tiga bulan dan denda RM40,500 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tiga tuduhan salah guna kuasa di Shah Alam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: “Mungkin tindakan puan bertujuan untuk membantu sekolah tetapi matlamat tidak menghalalkan cara… saya harap hukuman ini menjadi kifarah kepada puan,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh kepada seorang pengetua yang didapati bersalah menyalahgunakan kuasa.

Tertuduh Norliza Mat Radzi, 49, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 bagi tiga pertuduhan menyalahgunakan kuasa berhubung pembekalan barangan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65 menerusi syarikat miliknya.

Hakim Rozilah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 bulan lagi sekiranya gagal  membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan, namun memerintahkan wanita itu membayar denda hari ini (semalam) selain menaikkan jumlah ikat jamin daripada RM15,000 kepada RM20,000.

Tertuduh membayar denda itu.

Tertuduh didakwa memilih syarikatnya, Orean Collection, sebagai pembekal bahan bantu mengajar berjumlah RM2,091.65, pembekalan tuala kecil bernilai RM500 dan membekalkan pakej hamper, set fail, alat tulis serta medal perasmian bernilai RM4,000 bagi aktiviti di sekolahnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sekolah itu yang terletak di Pelabuhan Klang dekat sini, antara 12 Feb dan 13 April tahun lepas, mengikut Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Hazirah Azeman sementara Norliza diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak.

Terdahulu, ketika merayu untuk hukuman ringan Norliza berkata dia telah berusaha bersungguh-sungguh dan seikhlas hati untuk cuba memajukan sekolahnya yang telah berusia dan memerlukan perubahan serta penyelenggaraan.

Saya tiada niat untuk gunakan sekolah untuk kepentingan diri dan apa yang saya lakukan adalah untuk kemajuan anak murid dan sekolah. Saya yakin Allah lebih tahu apa niat saya dan saya percaya Allah tahu apa yang terbaik.

Walaupun di dunia saya dihukum dan tidak dapat buktikan saya tidak ambil wang itu, tapi saya yakin anak-anak murid, guru semua doakan kesejahteraan saya atas segala usaha yang saya lakukan untuk sekolah,” katanya sebak.

Hakim Rozilah kemudian berkata sebagai seorang pengetua, tertuduh seharusnya memberi teladan kepada anak bangsa untuk mengikut peraturan dengan tidak memilih syarikat yang dia mempunyai kepentingan.

Saya adili kes ini berdasarkan keterangan dan dokumen yang dikemukakan di depan saya. Saya harap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada orang lain yang ingin menjadi ‘Robin Hood’ tetapi cara tidak kena,” tegasnya. — Bernama

Advertisement