Anda di sini

Mahkamah tetapkan 23 Ogos bicara kes lelaki sengaja cedera, ugut teman wanita

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 23 Ogos depan untuk perbicaraan kes seorang lelaki yang dituduh dengan sengaja mencederakan dan melakukan ugutan jenayah ke atas teman wanitanya.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM6,000 berserta empat penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Christopher Ben, 23, dari Kampung Tudan Fasa 5 di sini telah didakwa mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas teman wanitanya, Merlyn Sampang, 38, dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan dan juga menyepak mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 petang, 9 Julai lalu di sebuah lot di Kampung Sealine, Lutong di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Merlyn Sampang, 38.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan di tempat yang sama.

Terdahulu, kes ditetapkan untuk pengurusan kes semalam dan tertuduh masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Justeru pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk perbicaraan lanjut.

Semasa sebutan pertama kes pada 19 Julai lalu, tertuduh yang mengaku tidak bersalah diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan RM3,000 berserta dua penjamin tempatan bagi setiap tuduhan dihadapinya.

Advertisement