Anda di sini

Maduro selar sekatan AS ke atas rejimnya ‘biadap’

Advertisement

Tatkala pembangkang lancar mogok dua hari di seluruh negara untuk guling presiden menerusi pilihan raya awal

 Anggota polis bersenjata mengejar penunjuk perasaan anti-Maduro di Caracas, Venezuela kelmarin. — Gambar Reuters
KEJAR: Anggota polis bersenjata mengejar penunjuk perasaan anti-Maduro di Caracas, Venezuela kelmarin. — Gambar Reuters

CARACAS: Presiden Venezuela Nicolas Maduro meng-anggap sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas rejim beliau kelmarin sebagai “biadap”, manakala tekanan ke atas beliau meningkat di luar dan dalam negara berhubung rancangan beliau yang kontroversi untuk memilih sebuah badan baharu bagi menulis semula perlembagaan.

AS mengambil langkah tersebut ketika pembangkang di Venezuela memulakan mogok selama dua hari di seluruh negara untuk menggulingkan presiden menerusi pilihan raya awal.

Keganasan protes anti-Maduro yang berdarah selama empat bulan disahkan sete-rusnya oleh kematian seorang lelaki berusia 30 tahun dalam demonstrasi di bahagian barat negara. Ia menambah kepada bilangan kematian yang sudah melepasi 100.

Di Washington, Perbendaharaan AS mengumumkan senarai 13 pegawai dahulu dan sekarang, termasuk menteri dalam negeri, ketua kanan tentera, presiden majlis pilihan raya, dan ketua kewangan syarikat minyak kerajaan PDVSA, yang akan dibekukan aset mereka di AS.

Tindakan pembangkang dan AS bertujuan untuk me-maksa Maduro membatal-kan rancangan beliau untuk memilih 545 ahli “Dewan Pengundi” pada Ahad ini.

Pengkritik berkata badan itu adalah satu langkah ke arah pemerintahan diktator, dengan melangkaui atau membubarkan Dewan Negara yang dikuasai pembangkang.

Maduro menganggap hukuman AS itu sebagai “menyalahi undang-undang, biadap dan luar biasa”.

Penjajah di AS ini fikir mereka siapa? Kerajaan dunia?” katanya dalam satu ucapan.

Namun di negara beliau, yang mengalami kekurangan barangan asas yang berleluasa dan inflasi yang begitu tinggi, penunjuk perasaan mempamerkan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan Maduro.

Tiada lagi pemerintahan diktator!” poster menyebut di perintang jalan di timur Caracas.

Maduro menuduh AS meng-api-apikan tentangan terhadap beliau dan kerajaan beliau, dengan bantuan pembangkang yang konservatif.

Tentera Venezuela pula sudah mengisytiharkan ke-setiaan kepada beliau.

Namun kira-kira 70 peratus rakyat Venezuela menentang Dewan Pengundi, menurut firma tinjauan pendapat Data-nalisis.

Kemelut politik yang semakin buruk itu telah me-ningkatkan lagi kebimbangan bahawa keganasan jalanan selama berbulan-bulan boleh bertambah teruk lagi.

Pembangkang merancang satu lagi demonstrasi besar-besaran di ibu negara pada Jumaat (waktu tempatan).

Ribuan warga Venezuela yang membawa beg berat sudah merentasi sempadan dan memasuki Colombia pada minggu ini, untuk lari dari pergolakan.

Pilihan raya akan berlangsung Ahad ini dan kami benar-benar tidak tahu apa yang akan berlaku,” kata Maria de los Angeles Pichardo yang meninggalkan Venezuela bersama suami dan anak lelakinya. “Untuk selamat, kami memilih untuk merentasi sempadan.”

Rakyat jelata Venezuela yang masih berada di negara mereka percaya menggulingkan Maduro adalah satu-satu-nya harapan mereka untuk terus hidup.

Setiap kali hidup kami semakin buruk, dengan barisan panjang dan kekurangan. Saya rasa saya akan mogok selama 48 jam,” kata seorang penduduk Caracas, Maria Auxiliadora.

Ketua pembangkang terkemuka Leopoldo Lopez membuat rayuan terus kepada tentera awal kelmarin untuk menarik balik sokongan kepada rancangan Maduro, yang beliau anggap sebagai satu “penipuan perlembagaan” bertujuan untuk menamatkan pemerintahan demokratik.

Ketika mengumumkan sekatan AS, Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin berkata Amerika “menyokong rakyat Venezuela dalam usaha mereka untuk memulih-kan negara mereka kepada demokrasi sepenuhnya yang makmur”.

Beliau memberi amaran sesiapa yang dipilih untuk menjadi ahli Dewan Pengundi juga akan dikenakan sekatan oleh AS.

Sebanyak 13 daripada 35 negara anggota Pertubuhan Negara-negara Amerika, sebuah blok politik serantau, menggesa Maduro untuk menggantung pemilihan pada Ahad ini.

Negara-negara termasuk Argentina, Brazil, Mexico, AS dan Kanada berkata pemilihan itu sama seperti “memansuhkan institusi yang demokratik”. — AFP

Advertisement