Anda di sini

Lima meter jarak hakisan, penduduk berdepan ancaman tanah runtuh

Advertisement
 Bekas hakisan tanah, selepas runtuhan yang berlaku pagi semalam, di Kampung Kuala Tutoh.
RUNTUH LAGI: Bekas hakisan tanah, selepas runtuhan yang berlaku pagi semalam, di Kampung Kuala Tutoh.

MARUDI: Hakisan tanah pada jarak lima meter dari rumah penghuni Kampung Kuala Tutoh berlaku lagi di sini, awal pagi semalam.

Daripada 77 pintu rumah panjang, sebanyak 10 pintu berada pada jarak paling hampir dengan tebing dan runtuhan malah sebuah kediaman berada pada kedudukan paling hampir tapak hakisan.

Bimbang keadaan semakin buruk, Ketua Kaum Benedict Victor Wak mengarahkan penghuni rumah Edwin Uba dan keluarga berpindah ke bangunan Dewan Serbaguna Kampung Kuala Tutoh.

Pagi tadi (semalam), kejadian tanah runtuh berulang lagi dan kini semakin hampir dengan rumah didiami Edwin Uba (bilik nombor 23).

Saya telah mengarahkan keluarga segera berpindah kerana bimbang jika berlaku hakisan, rumah dan keluarganya berdepan risiko dihanyut arus deras sungai,”katanya ketika menghubungi Utusan Borneo semalam.

Beliau memberitahu, pagi semalam penduduk kampung bergotong-royong membantu ahli keluarga Edwin mengangkut barang dan perabot di rumah ke dewan serba guna kampung berkenaan.

Benedict menasihatkan penduduk jagaannya supaya sentiasa berwaspada dan mencari langkah keselamatan segera selain perlu bertindak pantas membantu antara sama lain, jika berlaku kecemasan.

Jelasnya, penduduk juga diingatkan supaya memastikan segala dokumen penting berada di tempat selamat dan mudah dicapai. 

Semasa Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala dan rombongannya melawat kampung berkenaan 25 Julai lalu, jarak tebing sungai runtuh pada malam Sabtu (22 Julai) hanya 15 meter sahaja.

Namun runtuhan semalam, walaupun tiada hujan turun, menjadikan jarak tebing dengan kampung berkenaan hanya tinggal lima meter sahaja dan memberi petanda buruk jika berlaku lagi.

Advertisement