Anda di sini

Kemungkinan kes dera pelajar masih disiasat: Dev

Advertisement
 Dev (tengah) semasa bercakap pada sidang media semalam.
SIDANG MEDIA: Dev (tengah) semasa bercakap pada sidang media semalam.

KUCHING: Polis masih menjalankan siasatan berhubung laporan kemungkinan kes dera yang dipercayai berlaku di sebuah sekolah agama di Petra Jaya di sini yang menyebabkan seorang pelajar lelaki tingkatan empat dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, kes tersebut setakat ini belum diklasifikasikan sebagai kes dera kerana masih menunggu laporan perubatan mangsa daripada pihak hospital.

Setakat ini, kita masih menunggu laporan perubatan daripada hospital kerana berdasarkan siasatan awal, kita difahamkan mangsa pada sebelah petang juga ada mengikuti ‘explore race’ dan latihan kawad.

Justeru, pihak hospital kini masih menjalankan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca kecederaan yang dialami mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini semalam.

Selasa lalu, dua pelajar tingkatan empat salah sebuah sekolah agama di sini terpaksa menerima rawatan di HUS selepas didenda dengan melakukan senaman fizikal melampau oleh gurunya sekitar jam 11.20 pagi hingga 12.20 tengah hari.

Susulan kejadian itu, ibu bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gita pada Jumaat lalu selepas anaknya dimasukkan ke wad HUS bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana dipercayai otot serta sel kedua-dua belah pahanya koyak dan rosak akibat denda melampau itu.

Sementara itu, bercakap mengenai kes seorang pelajar yang dipercayai membubuh racun lipas ke dalam mi goreng untuk santapan rakannya di sebuah sekolah di Sri Aman, Dev berkata ia juga masih dalam siasatan.

Kita menjalankan siasatan dari semua aspek, di mana kini kita juga masih menunggu laporan daripada pihak sekolah berhubung prestasi akademik dan disiplin mereka,” kata Dev.

Tambahnya, mangsa yang mendapat rawatan di Hospital Sri Aman selepas keracunan makanan itu juga sudah dibenarkan pulang.

Selain itu, dalam perkembangan lain, Dev turut mengesahkan pihaknya masih menyiasat kes hasutan yang membabitkan blogger politik Papagomo.

Tegasnya, polis kini masih menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebelum melengkapkan siasatan dan menyerahkan hasilnya kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Kes masih berjalan, cuma kini kita masih menunggu laporan-laporan untuk melengkapkan kertas siasatan,” jelasnya.

Dev terdahulu menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kuching antara DSP Lim Bhak Phai yang dinaikkan pangkat kepada Superintenden dan akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hulu Selangor dengan DSP Mohd Fazri Yusof.

 Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai, Timbalannya Superintenden Abang Junaidi Abang Anuar da Superintenden Ismail Mahmood.

Advertisement