Anda di sini

Israel longgar ‘cengkaman’ ke atas Al-Aqsa

Advertisement

Penduduk Palestin rai tindakan Zionis tanggal alat kawalan keselamatan sebagai  satu ‘kemenangan’

 Penduduk Palestin meraikan di luar pintu masuk ke Kota Lama Baitulmaqdis selepas Israel menanggalkan alat kawalan keselamatan semalam. — Gambar Reuters
RAI: Penduduk Palestin meraikan di luar pintu masuk ke Kota Lama Baitulmaqdis selepas Israel menanggalkan alat kawalan keselamatan semalam. — Gambar Reuters

BAITULMAQDIS: Israel menghentikan penggunaan alat kawalan keselamatan lain di pintu masuk ke sebuah tapak suci yang sensitif di Baitulmaqdis setelah protes dan rusuhan berlaku sejak beberapa hari lalu, sekali gus mencetuskan kegembiraan Palestin pada awal semalam.                   

Ketegangan masih dirasai di antara Israel dan penduduk Islam di tapak suci tersebut walaupun pengesan logam ditanggalkan Selasa lepas, dengan kebimbangan mengenai rusuhan yang serius pada hujung minggu ini jika tiada penyelesaian dicapai. 

Susur dan perancah yang baharu dipasang untuk meletakkan kamera kini juga sudah ditanggalkan dari sekurang-kurangnya satu pintu masuk utama ke pekarangan Haram al-Sharif, dikenali kepada orang Yahudi sebagai ‘Temple Mount’ (Gunung Bait), seorang wartawan AFP menyaksikan awal semalam.

Ia tidak jelas sama ada pihak berkuasa Islam kini akan memberikan kebenaran kepada jemaah untuk memasuki semula tapak itu atau tidak, yang menempatkan Masjid Al-Aqsa yang disanjung orang Islam dan ‘Dome of the Rock’ (Kubah Batu). 

Penduduk Palestin mula berhimpun di pintu masuk untuk bergembira pada awal pagi semalam, dengan membunyikan wisel dan hon kereta.

Golongan muda bermain mercun sambil diawasi tentera Israel.

Firas Abasi berkata dia rasa hendak menangis dengan “kemenangan” itu.

Selama 12 hari, tidak ada orang yang tidur, tidak ada orang yang telah melakukan apa-apa kecuali Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Israel mengambil langkah keselamatan baharu sebelum ini ekoran satu serangan tidak jauh dari sana yang mengorbankan dua anggota polis pada 14 Julai lalu.

Penduduk Islam enggan memasuki tapak itu dan bersolat di atas jalan di luar selama lebih seminggu setelah Israel memasang alat-alat kawalan keselamatan baharu di sana.

Penduduk Palestin meng-anggap tindakan itu sebagai usaha Israel untuk mengukuh-kan lagi kuasa ke atas tapak tersebut.

Pihak berkuasa Israel berkata pengesan logam itu diperlukan kerana penyerang pada 14 Julai lalu menyeludup senapang ke dalam tapak berkenaan dan muncul dari sana untuk menye-rang anggota polis terbabit.

Protes dan rusuhan berdarah meletus pada hari-hari sejak langkah keselamatan berkenaan diambil, dengan pertelingkahan yang meletus di sekitar pekarangan di Kota Lama Baitulmaqdis dalam Tebing Barat yang diduduki Israel, menyebabkan kematian lima penduduk Palestin.

Seorang penduduk Palestin turut memecah masuk ke dalam sebuah rumah di sebuah penempatan Yahudi di Tebing Barat pada minggu lepas dan menikam empat warga Israel, menyebabkan kematian tiga daripada mereka.

Ada yang khuatir sembahyang Jumaat – yang biasanya menarik ribuan ke Al-Aqsa – akan mencetuskan pertelingkahan yang serius di antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan Israel.

Selepas diplomasi antarabangsa yang intensif dan amaran mengenai potensi bagi pergolakan yang lebih meluas, Israel menanggalkan pengesan logam pada awal Selasa lepas.

Dalam perkembangan berasingan lewat kelmarin, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau mahu mengusir syarikat penyiaran dari Qatar, Al-Jazeera, dari Israel kerana ia “terus-menerus menghasut keganasan di sekitar ‘Temple Mount’”.

Presiden Palestin Mahmud Abbas, yang mengumumkan pembekuan ke atas hubungan dengan Israel pada minggu lepas berhubung pertikai-an itu, berkata Selasa lepas bahawa penggantungan itu akan diteruskan sehingga tapak berkenaan dikembalikan kepada keadaannya sebelum krisis itu bermula.

Keputusan Israel untuk menanggalkan pengesan lo-gam dibuat setelah Netanyahu mengadakan rundingan dengan Raja Jordan, Abdullah II, yang telah menuntut pem-berhentian penggunaannya.

Jordan merupakan penjaga rasmi tapak-tapak suci Islam di Baitulmaqdis.

Pekarangan tersebut terletak di timur Baitulmaqdis, yang dirampas oleh Israel dalam Perang Enam Hari pada 1967 dan kemudian ditakluki dalam satu tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Tapak ketiga paling suci bagi umat Islam dan paling suci bagi bangsa Yahudi itu adalah nadi bagi konflik Israel-Palestin yang telah menjadi tumpuan utama dalam perjuangan Palestin.

Pada 2000, lawatan ketua pembangkang ketika itu di Israel, Ariel Sharon, ke sana mencetuskan ‘intifada’ atau pemberontakan kedua Pales-tin. — AFP

Advertisement