Anda di sini

Hilang fokus punca gawang Sarawak robek

Advertisement

Kekalahan kepada Melaka Utd menjerumus skuad Pengiran Bala ke zon penyingkiran

 Pemain Melaka United mengepung penyerang Sarawak Mateo Roskam (kanan) pada perlawanan bola sepak Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat. — Gambar Bernama
KEKANG: Pemain Melaka United mengepung penyerang Sarawak Mateo Roskam (kanan) pada perlawanan bola sepak Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat. — Gambar Bernama

KUCHING: Hilang fokus membawa padah kepada Sarawak menyaksikan skuad itu mengalami kekalahan ke- 10 kali ini di tangan Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat malam kelmarin.

 Meskipun mendahului perlawanan dengan dua gol hasil jaringan Mateo Roskam (24) dan Tommy Mawat (30), pemain Sarawak gagal mengekalkan momentum lantas memberi peluang kepada tuan rumah bangkit untuk mencatat kemenangan 4-2.

 Melaka United hanya memerlukan sembilan minit untuk meledak tiga gol pada babak pertama menerusi Marco Simic (32), Fauzi Roslan (35) dan Rasiah Surendran (40).

 Tuan rumah memastikan kemenangan bergaya dengan meledak jaringan keempat pada masa kecederaan (90+4).

 Pengendali sementara Sarawak, Pengiran Bala jelas kecewa kerana pemainnya melepaskan peluang terbaik untuk meraih kemenangan selepas mendahului selesa dengan dua gol.

 Jelasnya, hilang fokus menjadi faktor utama gawang Sarawak dibolosi tiga gol dalam tempoh sembilan minit.

 “Pemain hilang konsentrasi dan gagal mengekalkan momentum selepas mendahului dengan dua jaringan.

 “Ia memberi peluang kepada Melaka United bangkit untuk memberi tekanan kepada kita sekali gus menjaringkan gol,” katanya mengulas perlawanan itu semalam.

 Beliau akui ketiadaan Demerson Bruno Costa dan Ronny Harun akibat kecederaan sedikit sebanyak menjejaskan pertahanan Sarawak pada perlawanan itu.

 Menurutnya, Melaka United juga wajar diberikan kredit kerana menunjukkan permainan yang menarik dan berjaya bangkit dari ketinggalan sekali gus mencatat kemenangan.

 Kekalahan itu meletakkan Sarawak di zon penyingkiran selepas jatuh ke tangga ke-11 dengan perlawanan hanya berbaki empat perlawanan.

 Menurut Pengiran, skuadnya perlu bangkit dalam empat perlawanan terakhir untuk mengelak tersingkir dari saingan pada tahun depan.

 Sarawak akan menentang Johor Darul Taazim dalam saingan Piala Malaysia pada Sabtu ini (29 Julai) di Stadium Negeri, Petra Jaya disusuli pertembungan Liga Super menentang Pulau Pinang pada 5 Ogos di venue sama.

  • oleh
  • Advertisement