Anda di sini

Helah lelaki gelap duit syarikat terbongkar

Advertisement
AIDIL
AIDIL

KUCHING: Muslihat seorang lelaki membuat laporan palsu kononnya dirinya dirompak tidak berhasil apabila kegiatannya menggelapkan duit syarikat sebanyak RM16,500 terbongkar, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, perkara tersebut diketahui oleh pihaknya selepas siasatan dijalankan terhadap suspek berusia 29 tahun yang berasal dari Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya di sini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati wang tersebut telah digunakan oleh suspek untuk membayar hutangnya kepada ceti haram dan bukan dirompak seperti yang dilaporkannya pada 16 Mei lalu.

Siasatan oleh anggota detektif mendapati suspek telah membuat laporan palsu dan ia (laporan) dibuat hanyalah untuk ‘cover’ (menyembunyikan hakikat bahawa) duit RM16,500 itu telah diguna untuk membayar hutang ceti haram.

Difahamkan, duit tersebut adalah milik syarikat tempatnya bekerja yang diserahkan kepadanya untuk ‘rolling’ pembelian tiket bas,” kata Aidil dalam satu kenyataan di sini semalam.

Suspek dalam satu laporan yang dibuat pada 16 Mei lalu mendakwa dia telah didatangi dua lelaki bersenjatakan parang menaiki sebuah motosikal iaitu di Jalan Semeba di sini dan terus mengugut akan mencederakannya.

Menurutnya, seorang daripada suspek kemudian bertindak mengambil sampul berisi wang berjumlah RM16,500 yang diletakkan di tempat duduk pemandu (kereta) sebelum terus melarikan diri dari tempat kejadian,” kata Aidil.

Laporan telah dibuat oleh suspek di Balai Polis Kota Sentosa pada jam 4 petang hari yang sama.

Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuching pada jam 9 pagi hari ini.

Advertisement