Anda di sini

Dua acara berbasikal terbesar sempena Hari Bandaraya Kuching Ke-29

Advertisement
 (Barisan depan, dari tiga kanan) Abang Ahmad, Abang Wahap dan Morshidi bergambar bersama yang lain selepas sidang media.
PROGRAM SIHAT: (Barisan depan, dari tiga kanan) Abang Ahmad, Abang Wahap dan Morshidi bergambar bersama yang lain selepas sidang media.

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menganjurkan dua acara berbasikal terbesar pada September depan sebagai memeriahkan sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-29.

 Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata acara pertama Kayuhan Perpaduan dan Keamanan ‘Ride for Unity & Peace’ akan diadakan pada 16 September 2017 bertempat di Dataran Selebriti, Kompleks Sukan Negeri Sarawak.

 “Kayuhan ini sangat berbeza kerana ia bukan sekadar mempromosi gaya hidup sihat secara berbasikal dan merapatkan hubungan antara pekayuh tetapi juga bertujuan membantu golongan yang memerlukan.

 “Aktiviti ini amat bermakna kerana ia akan diadakan pada 16 September bersempena dengan sambutan Hari Malaysia,” katanya pada sidang media di Stadium Perpaduan semalam.

 Menurut Abang Wahap, peserta akan dibahagikan kepada lima kumpulan di mana mereka akan berkayuh sejauh 40 kilometer sambil melawat lima rumah kebajikan dan terlibat sama melakukan kerja-kerja amal di sana.

 Menurutnya, lokasi yang akan dilawati adalah Lions Nursing Home, Jalan Stutong, Salvation Army (Boy) Jalan Ban Hock, Cheshire Home & Blind Centre, Jalan Ong Tiang Swee, Salvation Army (Girls & Children Home Jalan Ong Tiang Swee dan Rumah Anak Yatim Laila Taib Jalan Sultan Tengah.

 “Kita menyasarkan sejumlah 2017 peserta untuk mengambil bahagian dan mengalu-alukan jika jumlah itu melebihi sasaran tersebut,” tambah beliau lagi.

 Peserta akan dikenakan yuran sebanyak RM60 jika mendaftar sebelum 28 Ogos dan RM80 jika mendaftar selepas tarikh tersebut.

 Peserta yang mengambil bahagian akan diberikan baju dan medal.

 Menurut Abang Wahap lagi, DBKU juga buat julung kalinya akan menganjurkan Kejohanan DBKU Criterium Race 1.0 yang dijadual berlangsung pada 17 September di Kompleks Sukan Negeri Sarawak.

 Menurutnya, perlumbaan tersebut akan mempertandingkan enam kategori iaitu Tertutup Sarawak, Remaja Lelaki (20 Tahun ke bawah), Veteran (40 tahun ke atas), Basikal Bukit (MTB), Terbuka dan All Stars (50 Tahun ke atas).

 “Kita mempelawa mereka yang berminat untuk turut serta kerana perlumbaan ini menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang.”

Johan bagi kategori Tertutup Sarawak akan menerima RM700, tempat kedua RM500, ketiga RM300, keempat RM200 dan kelima RM100.

 Bagi kategori Remaja Lelaki (20 Tahun ke bawah), veteran dan MTB, juara akan meraih RM600, tempat kedua RM400, ketiga RM300, keempat RM200 dan kelima RM100.

 Acara terbuka yang menjadi tumpuan akan menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 kepada juara.

 Tempat kedua RM700, ketiga RM500, keempat RM400 dan kelima RM300.

 Pemenang tempat keenam hingga ke-10 akan masing-masing menerima RM100.

 Bagi kategori All Stars, juara akan meraih RM500, tempat kedua RM300, ketiga RM200, keempat dan kelima RM150.

 Pemenang tempat keenam hingga kelapan akan menerima RM100 manakala tempat kesembilan dan ke-10 akan menerima RM50.

 Peserta mendaftar sebelum 28 Ogos dikenakan yuran sebanyak RM90 dan RM100 selepas tarikh tutup tersebut.

 Mereka yang berhasrat untuk menyertai acara tambahan perlu membayar RM20 bagi setiap acara tambahan.

 Borang bagi menyertai kedua- dua acara boleh didapati di kaunter pembayaran DBKU.

 Ia juga boleh didapati dengan memuat turun dari www.dbku.sarawak.gov.my.

 Maklumat lanjut juga boleh diperolehi dengan menghubungi 082-236223.

 Hadir sama Ketua Timbalan Pengarah DBKU Morshidi Ahmad, Ketua Polis Bahagian Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai dan wakil dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1 Divisyen Kolonel Ahmad Jaidi.

Advertisement