Anda di sini

Dr Kunaseegaran bebas enam tuduhan salah guna peralatan hospital

Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini semalam melepaskan dan membebaskan Pakar Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr R. Kunaseegaran daripada enam pertuduhan salah guna peralatan HATTM tanpa pengetahuan hospital berkenaan.

Hakim Slamat Yahya turut melepaskan dan membebaskan bekas pembantu juruteknologi makmal HATTM, Yazid Lamin, 47, daripada tiga pertuduhan bersubahat dengan Dr Kunaseegaran, 54, membawa keluar peralatan makmal patologi HATTM tanpa pengetahuan hospital itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan kedua-dua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dr Kunaseegaran, yang direman di Penjara Sungai Buloh dekat sini, turut menghadapi pertuduhan bersubahat dengan tujuh lelaki lain dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, dua tahun lepas.

Bagi enam pertuduhan itu, Dr Kunaseegaran didakwa menggunakan harta kepunyaan HATMM termasuk alat ‘Microtome’, ‘Microtome Rotary System’ dan ‘Circular Parafin Floating Bath’ tanpa pengetahuan pihak hospital berkenaan, di No 23 dan No 26 Galeri Empire, Jalan Empayar melalui Jalan Sultan Ibrahim, Klang dekat sini pada Jun 2010 dan April 2012.

Kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara Yazid yang juga bekas pegawai waran tentera, dituduh bersubahat dengan Dr Kunaseegaran dengan membawa keluar harta kepunyaan hospital itu, antaranya alat ‘Microtome’ berjenama Thermo Shandon Finesse E+ dan ‘Microtome Rotary System’ berjenama Leica tanpa pengetahuan hospital berkenaan.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Clinipath (Malaysia) Sdn Bhd, No 23, Galeri Empire, Jalan Empayar, Off Persiaran Sultan Ibrahim/KU 1, Klang, pada Jun 2010.

Yazid yang sebelum ini berkhidmat selama 25 tahun dalam Angkatan Tentera dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 403 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Slamat berkata setelah meneliti keterangan semua saksi pendakwaan, eksibit dan pembelaan kedua-dua tertuduh, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan siapa yang membawa ketiga-tiga peralatan berkenaan (seperti dalam pertuduhan) ke makmal.

Kedua-dua tertuduh nafi ada memberi arahan atau memindahkan peralatan itu, bahkan tiada catatan untuk buktikan bahawa kedua-dua tertuduh telah memindahkan peralatan itu. Tiada asas untuk tunjukkan kesemua peralatan itu ada didaftar di HATMM dengan sempurna dan kegagalan saksi pendakwaan ke-12 (kakitangan yang daftar peralatan) berbuat demikian menjadikan beliau seorang saksi yang tidak credible. — Bernama

Advertisement