Anda di sini

BP Run 2017, daftar awal untuk dapatkan tuala, baju-T percuma

Advertisement
 Jamie menunjukkan tuala dan baju-T yang boleh didapati secara percuma oleh para peserta yang menyertai larian BP Run di Sibu, semalam.
DAPATKAN SEGERA: Jamie menunjukkan tuala dan baju-T yang boleh didapati secara percuma oleh para peserta yang menyertai larian BP Run di Sibu, semalam.

SIBU: Orang ramai yang berminat untuk menyertai larian Borneo Post (BP) Run Edisi Ke-7 bertempat di Dataran Bandar Sibu Fasa I pada 31 Ogos ini diseru mendaftar awal bagi mendapatkan tuala dan baju-T percuma daripada pihak penganjur.

 Eksekutif Pemasaran See Hua Jamie Kong berkata, tuala dan baju-T itu akan diberikan percuma selagi stok masih ada.

 “Apa tunggu lagi, daftarlah segera untuk mendapatkan tuala dan baju-T percuma,” katanya di sini, semalam.

 Lebih daripada 2,000 pelari pelbagai bangsa dan agama telah mendaftar untuk menyertai larian tahunan itu setakat ini.

 Ketika larian ini diperkenalkan pada tahun 2011, ia berjaya menarik kira-kira 600 peserta.

 Sejak itu, bilangan peserta bertambah dari tahun ke tahun dan pada edisi keenam tahun lepas, ia berjaya menarik lebih daripada 3,000 peserta sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi.

 Objektif BP Run adalah untuk mengeratkan silaturahim dan keharmonian berbilang kaum antara rakyat di negara ini.

 Larian ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu 10 Kilometer Lelaki dan Wanita Terbuka, 10 Kilometer Lelaki dan Perempuan Junior dan 5 Kilometer Fun Run.

 Hadiah yang ditawarkan pada Kategori 10 Kilometer Lelaki dan Wanita Terbuka ialah johan akan membawa pulang RM500, naib johan RM350, tempat ket iga RM300 dan tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM250 dan RM150.

 Pemenang hadiah sagu hati dari tempat keenam hingga ke-20 masing-masing menerima RM50.

 Kategori Junior Lelaki dan Perempuan, johan akan menerima RM350, naib johan RM300, tempat ketiga RM250, tempat keempat RM200 dan kelima RM150.

 Sagu hati RM30 akan diberikan kepada pemenang tempat ke-6 hingga ke-60.

 Johan bagi Kategori Fun Run akan menerima RM150 diikuti naib johan RM120, tempat ket iga RM100, keempat RM80 dan kelima RM60.

 Tempat keenam hingga ke-90 akan menerima RM20 setiap seorang sebagai saguhati.

 Tarikh tutup penyertaan adalah pada 8 Ogos ini.

 Sebarang pertanyaan lanjut, diminta menghubungi pejabat The Borneo Post menerusi talian 084-315252 atau faks (084-320549).

 Mereka yang berminat boleh melayari www.theborneopost.com bagi keterangan lanjut.

Advertisement