Anda di sini

Tiada diskriminasi

Advertisement
 Uggah pada sidang media di Kuching semalam.
USAHA KERAS: Uggah pada sidang media di Kuching semalam.

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan kerajaan tidak pernah bersikap diskriminasi dalam menangani masalah penyakit anjing gila atau rabies di negeri ini.

Tindakan mempolitikkan isu itu, katanya, adalah tidak wajar dan bersifat tidak adil ketika semua pihak berwajib berusaha keras untuk memastikan keselamatan dan kesihatan masyarakat terjamin.

“Keutamaan kita sekarang ialah menyelamatkan nyawa orang, tiada diskriminasi dalam memberi bantuan kepada mana-mana pihak.

“Namun jika dia beranggapan demikian terhadap kita, maka dia telah membuat penilaian yang buruk,” ujarnya.

Uggah berkata demikian ketika menjawab dakwaan seorang bekas wakil rakyat di kawasan Kuching yang dikatakan tidak mendapat suntikan vaksin selepas digigit anjing.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengambil tindakan terhadap semua laporan yang diterima.

Menurutnya, setiap laporan individu atau mangsa gigitan anjing akan dinilai dan menjalani beberapa ujian oleh pihak perubatan.

“Oleh sebab itu, kita sentiasa memberi nasihat agar masyarakat sedar dengan isu ini, segera untuk mendapatkan rawatan di hospital sekiranya digigit anjing,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menjelaskan fokus utama pihaknya kini adalah mengawal rabies daripada terus merebak.

Menurutnya, JBPN akan mengkaji aktiviti kawalan penularan wabak rabies yang giat dilaksanakan ketika ini bagi memastikan keberkesanannya.

Menjelaskan perkara itu, buat masa sekarang langkah yang diambil adalah melakukan aktiviti pemvaksinan di zon jangkitan dan kawasan dalam lingkungan 10 kilometer radius.

Uggah berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam bagi melihat strategi yang sedang dilaksanakan.

“Kami melihat dalam perkara ini (rabies), dan merancang bagaimana caranya untuk membendung dan menangani rabies secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu bercakap mengenai penyebaran berita palsu berkaitan kawasan jangkitan rabies, Uggah berkata ia merupakan tindakan tidak bertanggungjawab.

“Saya juga telah maklum tentang perkara ini, sejak kebelakangan ini terdapat berita palsu berkaitan isu rabies.

“Tindakan mereka ini tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Uggah turut menasihat agar pihak tersebut menghentikan penyebaran maklumat atau gambar yang tidak betul di media sosial kerana ia mampu mengundang keresahan kepada penduduk.

Sementara itu, pada Mesyuarat Penyelarasan JPBN (Wabak Rabies) semalam, Uggah mengisytiharkan dua lagi tempat iaitu Kampung Serikin di Bau dan Pusat Penjaja Sungai Maong Tengah, di sini sebagai kawasan baharu wabak rabies, menjadikan jumlah keseluruhan yang diwartakan kepada 22 buah kawasan.

Kawasan turut diwarta di Serian ialah Kg Krait, Kg Paon Rimu, Kg Paon Rimu Bakung, Kg Remun, Kg Lebor, Kg Saroban, Kg Tangga, Kg Ampungan, Kg Mentong Berawan, Kg Mentong Silaga, Kg Engkabang, Kg Tampek Sumpas, Kg Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian dan Batu 45, Kuching-Sri Aman.

Di Tebedu, kawasan diwarta wabak rabies ialah Kg Temong Mura dan Kg Entubuh sementara di Sri Aman, Rumah Janta Punggu Mawang manakala di Kuching, Batu Lima, Jalan Semeba.

Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pencegahan dan Pengawalan Wabak Rabies (Sarawak-Kalimantan) turut diadakan yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datu Jaul Samion, dan Kepala Kanselerai, Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kuching, Bapak Muhammad Abdullah.

Mesyuarat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tebedu, Serian itu memutus dan mencadangkan beberapa langkah yang berkesan untuk mengatasi wabak rabies terutamanya di kawasan sempadan.

Antaranya mewujudkan kerjasama di bawah naungan SOSEK MALINDO supaya mesyuarat boleh diadakan dari semasa ke semasa sekiranya diperlukan serta bersetuju untuk membuat vaksinasi bersama di bawah ‘immune belt’ di kawasan sempadan.

Selain itu, mesyuarat turut memutus untuk mempertingkatkan promosi kesedaran mengenai rabies di sempadan dengan memberi risalah yang mempunyai dwibahasa (Malaysia dan Indonesia).

Turut dicadangkan ialah mewujudkan komunikasi lebih berkesan melalui satu pintu iaitu melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dari (Sarawak dan Kalimantan Barat), manakala Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) boleh berhubung terus dengan Dinas Kesehatan Kalimatan Barat.

Antara cadangan lain ialah mengadakan operasi bersama dengan mewujudkan satu piawaian operasi standard antara Sarawak dan Kalimantan Barat untuk kerjasama operasi rabies di perbatasan supaya tidak timbul banyak masalah serta tidak memberi izin import dan eksport haiwan.

Sementara itu, JKN memaklumkan bahawa secara kumulatif dari 2 Julai hingga semalam, sebanyak 402 kes gigitan baharu telah dikesan, di mana bahagian Serian 31 kes gigitan, bahagian Sri Aman tiga kes gigitan, dan bahagian Kuching 16 kes gigitan dilaporkan pada semalam.

JKN juga telah mewujudkan empat Klinik Gigitan Anjing (Dog Bite Clinic) iaitu di Hospital Umum Sarawak, Hospital Serian, Klinik Kesihatan Sentosa dan Klinik Kesihatan Sri Aman untuk memberi perkhidmatan pengurusan kes gigitan anjing bagi pesakit yang tinggal berdekatan.

Bagi kes gigitan anjing yang berlaku di luar kawasan empat klinik tersebut, orang ramai dinasihati untuk pergi ke klinik kesihatan atau hospital yang terdekat untuk mendapatkan rawatan.

JKN turut memohon masyarakat yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April hingga sekarang untuk membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan yang terdekat.

Isnin lalu, laporan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) mengesahkan bahawa empat daripada lima sampel adalah positif virus rabies.

Setakat ini, 39 sampel iaitu 33 sampel anjing dan enam sampel kucing telah disahkan positif virus rabies daripada 71 sampel yang diuji.

Sehingga semalam, jumlah haiwan peliharaan yang telah divaksin adalah 17,844 ekor yang terdiri daripada 10,204 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain.

Orang ramai turut diminta untuk mengurung serta memerhati tingkah laku haiwan masing-masing meskipun yang telah divaksinasi dan jika terdapat perubahan sikap dari jinak ke ganas, menggigit sebarang benda yang bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah dan agresif, sila buat aduan ke Bilik Gerakan JPVS menerusi talian 082-612949/611607 atau faks 082-613460.

  • oleh
  • Advertisement