Anda di sini

Yakin tumpas penceroboh

Advertisement

APMM tidak menolak kemungkinan rakyat tempatan bantu nelayan Vietnam curi hasil laut Sarawak.

 Steve menunjukkan lokasi bot dari Vietnam menceroboh perairan Sarawak.
DI SINI: Steve menunjukkan lokasi bot dari Vietnam menceroboh perairan Sarawak.
 Lapan nelayan Vietnam berjaya ditangkap.
TERUS DIBANTERAS: Lapan nelayan Vietnam berjaya ditangkap.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak optimis mampu menumpaskan sindiket mencuri hasil laut melibatkan nelayan Vietnam di perairan Malaysia di Sarawak.

Pengarah Daerah Maritim Kuching Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada rakyat tempatan membantu nelayan dari Vietnam menjalankan aktiviti mencuri hasil laut di perairan negara di negeri ini.

Malah, beliau memberitahu setakat Julai tahun ini, sudah 22 kes melibatkan pencerobohan nelayan Vietnam berjaya ditumpaskan dan ia adalah jumlah tertinggi tangkapan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Memang ada laporan mengatakan ada sindiket orang kita membantu nelayan Vietnam ini tetapi hingga kini ia masih dalam siasatan dan lambat laun kami percaya kami dapat membanteras sindiket ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas dekat sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai statistik tangkapan itu, Steve menjelaskan bahawa daripada 22 tangkapan di seluruh Sarawak, 12 kes melibatkan nelayan Vietnam itu berjaya ditumpaskan pasukan APMM Kuching.

"Ini adalah rekod APMM Kuching hasil daripada bantuan dan maklumat yang kami terima daripada orang awam terutama daripada nelayan tempatan dan pemancing di laut.

"Ini menunjukkan pencerobohan nyata dan berleluasa di perairan Malaysia di Sarawak dan tindakan tegas perlu diambil bagi membanteras pencerobohan ini," tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Steve berkata pada 19 Julai sekitar jam 4.20 petang APMM Daerah Maritim Kuching (DM11) dalam satu operasi khas berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara di kedudukan 48 batu nautika dari Tanjung Sirik.

"Setelah diperiksa, didapati seramai lapan warga Vietnam terdiri daripada tujuh awak-awak dan seorang tekong berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan rawai di perairan negara.

"Sehubungan itu, kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan kami juga menyita bot, peralatan menangkap ikan dan satu tan ikan pelbagai jenis," dedahnya.

Tegasnya lagi, sekiranya didapati bersalah tekong dan awak-awak dari Vietnam itu masing-masing boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 atau penjara.

"Justeru, kami amat mengalu-alukan orang awam terutama komuniti maritim melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, terus kepada Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak di talian hotline 24 jam 082-432544," ujarnya.

Mengenai perkembangan lain, Steve memberitahu bahawa pihaknya masih menjalankan perbincangan bersama kerajaan persekutuan dan negeri bagi mendapatkan dua kapal pembekal untuk ditempatkan di perairan negara di Sarawak.

Beliau menjelaskan, dengan adanya kapal pembekal itu, ia boleh membantu APMM melaksanakan rondaan dan pencegahan pencerobohan nelayan asing di laut dengan tempoh yang lebih lama.

"Maklum balas perbincangan menunjukkan perkembangan positif dan kalau kita ada kapal pembekal ini, kita mampu berada di laut lebih lama dua hingga empat minggu kerana bot-bot peronda kecil kita boleh mengisi minyak dan air di kapal tersebut tanpa perlu pulang ke jeti," jelasnya.

 Bot nelayan Vietnam turut disita sebagai bahan bukti.
DIRAMPAS: Bot nelayan Vietnam turut disita sebagai bahan bukti.
  • oleh
  • Advertisement