Anda di sini

MBM menafikan wabak anjing gila tersebar di Miri

Advertisement

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) menafikan wabak anjing gila atau rabies tersebar di bandar raya ini dengan dakwaan kononnya ada lima ekor anjing dibunuh di Kuala Baram pagi semalam kerana dikesan dijangkiti wabak rabies.

Datuk Bandarnya Adam Yii berkata berita itu adalah tidak benar dan pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan mengutuk sikap tidak bertanggungjawab pihak menyebarkan berita tersebut.

Adam berkata MBM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu rabies di sini kerana tiada wabak seumpama itu dikesan berlaku di sini atau di utara negeri ini.

Orang yang menyebarkan berita ini menjadi tular di media-media sosial terutama Whatsapp hanya mahu menimbulkan rasa takut dan panik dalam kalangan orang awam di sini. Jika perkara itu tidak benar, jangan diada-adakan,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak terbabit dan orang awam yang menerima berita ditularkan itu supaya berhenti menyebarkan dan berkongsi berita palsu ini.

Saya mahu perbuatan menyebarkannya dihentikan serta-merta dan jangan sampai ke tahap kami terpaksa mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” tegas beliau.

Menurut Adam, jika wabak itu tiba di Miri atau di mana-mana bahagian, pihak bertanggungjawab yang akan mengeluarkan kenyataan adalah Jabatan Kesihatan menerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Hanya sekretariat pengurusan bencana ini sahaja boleh mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan paling tepat, bukan daripada kami (MBM) atau sesiapa pun,” jelas Adam.

Mengenai aduan awam, beliau mengakui ada menerima aduan daripada pihak prihatin terhadap anjing-anjing terbiar disyaki berpenyakit dan pihaknya akan menghantar pegawai penguat kuasa ke lokasi itu jika ada aduan diterima.

Setakat ini, pemeriksaan yang kami lakukan ke atas anjing-anjing terbiar di sekitar Miri mendapati tiada berpenyakit anjing gila atau rabies,” katanya.  

Mengenai berita tular kononnya lima ekor anjing dijangkiti wabak rabies dibunuh di Kuala Baram, beliau menjelaskan bahawa MBM tidak pernah mengambil tindakan membunuh mana-mana anjing berpenyakit atau liar di tempat awam.

Sebaliknya, penguat kuasa menembak anjing terbabit menggunakan ubat pelali yang  menyebabkan anjing tersebut pengsan bagi memudahkan kerja-kerja membawanya balik tempat perlindungan sementara.

Adam memberitahu, kali terakhir MBM mengeluarkan kenyataan tentang isu tersebut ialah pada awal bulan ini menerusi Seksyen Kebersihan Awam dan Penyelenggaraan dengan menasihati pemilik anjing mengurung binatang peliharaan mereka di kawasan kediaman masing-masing agar tidak bergaul dengan anjing liar berpenyakit.

Kenyataan itu juga menyeru kerjasama semua pemilik anjing di kawasan bidang kuasa MBM supaya menjaga kebersihan binatang peliharaan mereka dan memastikan anjing mereka tidak mencetuskan gangguan terhadap jiran atau orang awam.

Pada masa sama, MBM terus menerima aduan terhadap anjing-anjing liar dan meneruskan rutin-rutin operasi menangkap anjing-anjing liar di kawasan awam.

Kami turut menyediakan perkhidmatan mengalihkan bangkai-bangkai binatang seperti anjing dan kucing yang mati di kawasan awam, termasuk yang mati dilanggar kenderaan,” katanya.

Berhubung isu rabies atau anjing gila, orang awam dinasihati mengikuti panduan dan arahan diberi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dari semasa ke semasa.

Advertisement