Anda di sini

Mi goreng racun lipas

Advertisement
 Racun lipas yang dipercayai digaul ke dalam mi
DIRAMPAS: Racun lipas yang dipercayai digaul ke dalam mi

KUCHING: Mungkin disebabkan tidak tahan dengan sikap rakan sekelasnya yang sering memeras ugut makanan dan wang, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Sri Aman dipercayai bertindak membubuh racun lipas ke dalam mi goreng untuk santapan rakannya itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, datuk pelajar itu membuat laporan polis petang semalam ekoran kes membabitkan cucunya menjadi bahan berita.

“Datuk suspek membuat laporan polis di Balai Polis Sri Aman jam 5 petang ini (semalam). Dalam laporan itu, dia menyatakan mangsa dibuli suspek, peras ugut wang dan makanan daripadanya hampir setiap hari.

“Pihak kami menyiasat laporan ini yang juga berkaitan dengan kes keracunan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Pelajar lelaki yang dikatakan menjadi mangsa peras ugut itu terdahulu disoal siasat polis apabila dikatakan memberi rakan sekelasnya makan mi goreng yang dipercayai dicampurnya dengan racun lipas.

Dev berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Sri Aman selepas menerima laporan polis dibuat bapa mangsa.

Susulan itu, sepasukan anggota JSJ Sri Aman membawa rakan sekelas mangsa ke balai polis pada jam 2.30 pagi semalam untuk soal siasat.

Menurut Dev, mangsa setakat semalam masih ditahan di Hospital Sri Aman, meskipun keadaannya stabil.

Selepas makan mi goreng yang dipercayai dicampur dengan racun lipas pada pagi kelmarin, pelajar lelaki tersebut muntah-muntah dan dikejarkan oleh guru ke Hospital Sri Aman.

Pada kira-kira jam 2.15 petang, bapa pelajar dari Pantu itu dimaklumkan oleh guru sekolah yang mengatakan anaknya telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk rawatan.

“Bapa pelajar itu bergegas ke hospital dan diberitahu oleh doktor yang anaknya termakan racun.

“Cikgu yang berada di hospital ketika itu memaklumkan anaknya telah makan makanan daripada rakan sekelasnya yang dengan sengaja membubuh racun dalam makanan itu,” kata Dev dalam kenyataan kepada media semalam.

Siasatan awal mendapati suspek membawa mi goreng dan sekotak racun lipas ke sekolah.

“Ketika dalam kelas, suspek menggaulkan racun itu ke dalam mi. Dia kemudian mempelawa mangsa untuk makan mi yang kemudiannya dimakan oleh mangsa,” katanya.

Beberapa minit selepas makan, mangsa mula muntah, dan apabila melihat keadaan mangsa, suspek mula menggelabah dan menyerahkan racun lipas itu kepada seorang rakan sekelas.

Suspek dibebaskan dengan jaminan polis pagi semalam kerana masih bawah umur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 328 Kanun Keseksaan.

Polis turut merampas racun lipas itu.

  • oleh
  • Advertisement