Anda di sini

Wabak rabies di Kalimantan Barat terus meningkat

Advertisement
 Laporan akhbar Indonesia, Metrotvnews.com mengenai situasi rabies di Kalimantan Barat.
RABIES KALBAR: Laporan akhbar Indonesia, Metrotvnews.com mengenai situasi rabies di Kalimantan Barat.

KUCHING: Rabies atau penyakit anjing gila yang mengorbankan empat kanak-kanak dari Serian telah meragut 13 nyawa setakat 11 Julai sejak tersebar di beberapa kawasan di Kalimantan Barat.

Akhbar Harian Rakyat Kalbar melaporkan virus rabies di Kalimantan Barat terus meningkat dengan mangsa digigit anjing mencapai 1,006 orang.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan bila penyakit itu mula meragut nyawa di 11 kawasan.

Menurut laporan berita yang dikongsikan wartawan akhbar itu, Ochsya, daerah tertinggi gigitan anjing ialah kawasan Kabupaten Sanggau yang terletak berhampiran dengan Sarawak.

Ada 423 kes di kabupaten (daerah) ini dengan jumlah mangsa meninggal dunia seramai lapan orang,” laporan akhbar itu dipetik.

Kawasan Lalu Sintang pula 219 kes dengan tiga orang meninggal dunia, manakala selebihnya berlaku di Kapuas Hulu yang mencatatkan 104 kes.

Laporan itu turut menyebut bilangan kes yang tinggi itu mendorong kerajaan Malaysia menuding Kalimantan sebagai pintu masuk wabak itu.

Alasannya, kerana akses perbatasan yang terbuka sehingga tidak hanya lalu lintas manusia tapi juga haiwan,” laporan itu dipetik.

Sementara itu, sebuah akhbar lain dari negara itu, Metrotvnews.com melaporkan penularan rabies di Kalimantan Barat semakin membimbangkan.

Kadis Peternakan dan Hewan Kalbar Abdul Manaf dipetik berkata 11 wilayah di Kalimantan Barat terjejas penyakit pembawa maut itu.

Menurutnya, setiap hari pihaknya menerima laporan warga diserang anjing rabies.

Pihak veterinar di Kalimantan Barat giat berusaha menyekat penularan rabies dengan memberi vaksin antirabies kepada anjing liar.

Setakat 10 Julai, akhbar itu melaporkan 873 ekor telah diberikan vaksin antirabies.

Sejumlah 11 daerah yang dijangkiti rabies kebanyakannya terletak di perbatasan Indonesia-Malaysia.

Laporan terbaharu serangan rabies di Kecamatan Sekayam, Kabupaten Sanggau yang berbatasan langsung dengan negeri tetangga (Sarawak),” kata Abdul Manaf.

Utusan Borneo cuba menghubungi ketua veterinar Kalimantan Barat Kadis Wanak bagi mendapatkan gambaran situasi lebih jelas, tetapi gagal.

Advertisement