Anda di sini

Maybank IB Research kekal prospek ‘positif’ bagi sektor pembinaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Maybank IB Research mengekalkan prospek ‘positif’ terhadap sektor pembinaan, disokong oleh potensi aliran pemberian kontrak, yang dijangka meningkat pada separuh kedua 2017 dan tahun 2018.

Pendapatan syarikat pembinaan dengan kontrak dalam tangan yang kukuh akan mendapat perhatian setelah projek-projek infrastruktur bertambah.

Pilihan utama ‘belian’ yang kami sarankan bagi sektor tersebut ialah IJM  Corporation Bhd memandangkan syarikat mempunyai proksi langsung kepada pelaburan China yang semakin bertambah di Kuantan.

Harga saham IJM naik satu sen kepada RM3.47, setakat jam 11.00 pagi dengan 2.74 juta saham diniagakan.

Firma penyelidikan itu juga memilih Sunway Construction Group Bhd (SunCon) sebagai pilihan syarikat bermodal sederhana kerana syarikat itu merupakan satu-satunya saham pembinaan utama sepenuhnya dengan pendapatan kukuh dan berpotensi untuk mendapatkan penggantian kontrak dalam tangan.

Harga saham SunCon naik satu sen kepada RM2.03 dengan 25,000 saham bertukar tangan.

Maybank Ib pula berkata, separuh pertama 2017 mungkin menyaksikan pemberian projek infrastruktur yang agak perlahan selepas mencecah RM88 bilion pada 2016.

Berdasarkan kepada perkembangan sebelum ini, pemberian kontrak infrastruktur akan meningkat pada separuh kedua, dengan jangkaan pakej utama Transit Rel Lembah Klang 3 bermula.

Pakej sulung projek  Landasan Kereta api Pantai Timur dan landasan berkembar Gemas–JB akan juga diberikan, katanya.

Pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt 2017 penting bagi pembangunan infrastruktur negara.

Satu lagi syarikat pembinaan, Kerjaya naik empat sen kepada RM3.56 dengan 199,200 saham bertukar tangan. — Bernama

Advertisement