Anda di sini

Lelaki disyaki mencuri motosikal diperintah reman empat hari

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki mencuri sebuah motosikal kepunyaan seorang juruteknik diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman empat hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan penolong pegawai penyiasat Sarjan Mohd Sani Mohd Noor dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Mohd Sani memberitahu pada Disember 2016, pengadu, 25, telah membuat satu laporan polis berhubung kehilangan motosikalnya.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 3.40 pagi, 21 Disember 2016, setelah selesai makan di sebuah kedai di Pusat Komersil Bintang Jaya di sini, beliau mendapati motosikalnya yang diletakkan dalam keadaan berkunci di kawasan tersebut telah hilang.

Kerugian dialami dianggarkan RM5,000.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 4.50 petang, 19 Julai lalu di hadapan sebuah kedai makan di Permyjaya, sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda telah menangkap semula seorang lelaki yang diserahkan sendiri oleh pengadu kerana disyaki terlibat dalam kes itu.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah motosikal yang pernah dilaporkan hilang oleh pengadu daripada suspek untuk dijadikan barang kes.

Berikutan tangkapan itu, suspek bersama barang kes kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya, Mohd Sani memberitahu reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 27 tahun dari Lorong Delima 7, Tudan di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman selama empat hari sehingga 24 Julai ini.

Advertisement