Anda di sini

Ladang FELCRA RM100 juta di Pulau Banggi

Advertisement

Dimulakan hujung tahun ini sebaik urusan tanah di Pulau Banggi selesai: Bung Moktar

 Bung (dua kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengetua Madrasah Al-Mubarak Ahmad Sabari Kamari (kanan) pada majlis berkenaan.
CSR: Bung (dua kiri) menyampaikan replika cek kepada Pengetua Madrasah Al-Mubarak Ahmad Sabari Kamari (kanan) pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Projek pembukaan ladang FELCRA Berhad (FELCRA) di Pulau Banggi dijangka bermula sebelum Disember tahun ini.

Pengerusi FELCRA Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata projek yang menelan belanja kira-kira RM100 juta melibatkan tanah seluas 3,800 hektar itu adalah untuk penanaman nanas, pisang dan kelapa matag di pulau berkenaan.

Ini adalah satu usaha FELCRA untuk meningkatkan keselamatan makanan di seluruh negara.

Ia juga sebagai usaha FELCRA membantu kerajaan mengurangkan 10 hingga 20 peratus perbelanjaan negara yang kini membelanjakan kira-kira RM45 bilion setiap tahun untuk mengimport makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri FELCRA Sabah di sini pada Rabu.

Bung berkata ia adalah satu cara bagaimana meningkatkan keselamatan makanan dalam negara.

Jumlah RM45 bilion itu amat membimbangkan sekiranya tidak ada usaha untuk mengurangkan import berkenaan.

Ini kerana kita melihat situasi ketika Thailand dilanda banjir besar dan negara tidak dapat mengimport beras dari negara itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata projek berkenaan akan dimulakan sebaik sahaja isu tanah di Pulau Banggi selesai.

Kita boleh membangunkan projek yang akan menjadi usaha sama dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Selain itu, projek ini juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada hampir semua penduduk Pulau Banggi,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Perlimen Kinabatangan berkata melalui projek berkenaan masyarakat di kawasan itu boleh menjalankan perniagaan kecil-kecilan yang mana pulau berkenaan akan dibuka dan dinaik taraf seperti jeti, jalan raya dan bekalan air bersih.

Pada majlis itu, Bung Moktar menyampaikan sumbangan kepada sekolah Madrasah Al-Mubarak Kota Kinabalu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FELCRA Sabah.

Advertisement