KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 7 Sept untuk mendengar saman pemula pengerusi Hindu Rights Action Force (HINDRAF) P. Waytha Moorthy bersama 18 individu lain terhadap pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik berhubung dakwaan beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan dilarang memasuki Malaysia.
Peguam S. Karthigesan yang mewakili Waytha Moorthy dan 18 yang lain berkata hakim Datin Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Adnan Seman yang bertindak bagi pihak Presiden Pribumi Perkara Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali yang merupakan pencelah dalam kes saman tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kes itu disebut semalam.
Dalam saman difailkan pada 1 Mac 2017, Waytha Moorthy bersama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menamakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai defendan.
Dalam permohonan tersebut, mereka menuntut perintah perisytiharan bahawa penceramah terkenal itu merupakan ancaman kepada ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta. — Bernama