Anda di sini

Festival makanan tradisi Sabah 2017 ketengah juadah tradisional

Advertisement

KOTA KINABALU: Festival Makanan Tradisi Sabah 2017 mampu menjadi platform untuk  mempromosi dan mengetengahkan makanan tradisional negeri ini, kata Penolong Pegawai Daerah Penampang Henry Idol.

Beliau berkata menerusi acara itu, pengendali dan pengusaha makanan di Sabah dapat mempamerkan hidangan masing-masing kepada orang ramai.

Inilah masanya untuk meneroka kepelbagaian rasa makanan-makanan istimewa tradisi Sabah yang bukan sahaja unik, tetapi mampu memperkenalkan suku kaum dan budaya di negeri ini.

Makanan tradisional ini juga turut memperihalkan identiti masyarakat atau daerah di Sabah kerana setiap daerah di negeri ini terkenal dengan makanan tradisinya. Contohnya, daerah Penampang terkenal dengan hidangan tradisional istimewa hinava,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan festival itu di pekarangan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, dekat sini semalam.

Festival Makanan Tradisi Sabah 2017 yang bermula semalam hingga Ahad itu, dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) Penampang dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, sempena Program Tugu Budaya Etnik Sabah.

Selain itu, Henry turut mencadangkan agar makanan tradisional di negeri ini, disajikan di setiap hotel di Sabah.  “Makanan adalah antara tarikan yang mampu menarik minat pelancong luar. Oleh itu, saya harap makanan tradisional ini turut menjadi menu utama di hotel-hotel di Sabah,” katanya. — Bernama

Advertisement